Monday, April 9, 2012

Sebelum Aku Bernikah – Memahami Penyakit Cinta Masyarakat

| |
Picture by http://pinkparis1233.deviantart.com/
Menjengah alam kembara ke rumah tangga ini, saya menjadi banyak memerhati. Bersembang dengan para veteran dalam kehidupan, saya juga bersembang dengan mereka yang seangkatan dengan saya berkenaan cinta dan pernikahan. Saya juga mula meneliti konsep cinta yang dijadikan ‘perlembagaan’ oleh masyarakat.
Saya melihat betapa cinta yang hari ini diguna pakai oleh masyarakat, bukanlah cinta yang sebenarnya. Dari satu sisi, digelar itu semua cinta adalah kerana terletak di dalamnya ‘kasih dan sayang’. Namun, saya mempunyai definisi tersendiri terhadap cinta. Bukanlah pada coretan kali ini mahu saya kongsikannya.
Cukuplah kali ini saya mencoret, bagaimanakah ‘cinta’ itu dilihat oleh masyarakat hari ini.
Couple.
Satu perkara yang saya lihat, cinta semestinya dikaitkan dengan couple. Bila perkataan cinta disebut, maka ‘couple’, atau berpasangan bebas antara lelaki dan perempuan seakan-akan mengiringi lafaz tersebut.
Hingga manusia menjadi skeptik dengan cinta. Sebab itu saya tidak hairan dengan sindiran-sindiran para veteran apabila disebut berkenaan cinta. “Hish, kau jangan nak gatal sangat. Anak orang tu. Jangan rosakkan!” Sebab di dalam mindanya, terbayang couple bebas tidak punya batas itu.
Tidak kurang juga manusia-manusia yang ‘ahli agama’, bila dibicarakan cinta, terus diharamkan. “Cinta sebelum nikah, haram!” Kerana di dalam benaknya, sudah mempunyai satu ‘equation’ di mana cinta itu mestinya akan ada couple di dalamnya.
Ya. Begitulah stereotaip rata-rata manusia berkenaan cinta. Mesti dikaitkan dengan berpasangan tanpa batas dan pergaulan yang melanggar syariat.
Dengan pandangan sebegini, cinta menjadi sempit dan kelihatan terlalu buruk untuk wujud di dalam jiwa mereka yang belum bernikah. Kerana belum apa-apa, cinta sudah disekalikan dengan couple.
Tidak boleh hendak disalahkan mereka yang stereotaip ini juga. Memandangkan memang begitulah cinta diwarnakan oleh dunia. Bila cinta, diwarnakan dengan pegangan tangan antara bukan mahram, berdua-duaan, keluar bersama tanpa temanan mahram, dan berhabisan kredit serta wang untuk pembuktian cinta. Bahkan, ada yang menggadaikan maruah, semuanya di atas nama cinta.
Ya. Bagaimanalah cinta tidak terperangkap di dalam pandangan negatif orang?
Begitulah ‘warna’ cinta hari ini.

Terlalu Islamik.
Memandangkan sudah begitu buruk cinta dipandang, maka dalam kembara saya ke rumah tangga ini, saya menjumpai pula golongan yang terlalu islamik.
Terlalu Islamik ini hinggakan timbul kepercayaan yang pelik-pelik. Saya berikan satu contoh mudah terlalu Islamik sampai timbul kepercayaan pelik-pelik ini.
“Saya menanti dia yang telah tertulis untuk saya di lauh mahfudz sana.”
Ya. Ayat ini kelihatan Islamik kerana ada perkataan ‘menanti’ dan ‘lauh mahfudz’. Tetapi di hadapan saya, saya melihat ini adalah nyata satu ayat yang sangat silap dari ajaran agama.
Pertamanya, siapa yang tahu jodohnya siapa? Jadi bagaimana mahu menanti? Alangkan yang berkahwin pun bercerai. Yang berkahwin pun mati, dan yang hidup kahwin lain. Jadi benda ini terlalu besar untuk kita yakin bahawa seseorang itu adalah ‘jodoh saya’. Lebih menguatkan lagi pendapat saya ini adalah, dari manakah kita mahu tahu bahawa ‘dia itu jodoh saya?’. Nyata tiada jawapan konklusif untuk itu, bukan? Kerana jelas, jodoh itu urusan Allah SWT.
Keduanya, bagaimana ‘menanti’ ini boleh dijustifikasikan, sekiranya Allah SWT sendiri memberikan isyarat agar kita ‘memilih’? Tidakkah kita membaca firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.” Surah Al-Baqarah ayat 221.
                Jelas jika semuanya telah ditetapkan di Lauh Mahfudz sana, buat apa ada arahan untuk kita pilih antara yang musyrik dan yang beriman? Mungkin kita boleh nyatakan telah tertulis di Lauh Mahfudz. Tetapi kita tahukah siapa? Tidakkah kita mengetahui bahawa Allah SWT sendiri mengarahkan manusia agar berusaha? Dalam bab cari makan, kita tahu pergi cari. Mengapa dalam bab jodoh, kita boleh pilih untuk menanti? Dalam bab kecemerlangan peperiksaan, kita tahu mahu studi. Mengapa dalam bab jodoh, kita boleh berdiam diri?
Itu satu contoh terlalu islamik.
Banyak lagi. Sehingga keluar cerita Fatimah dan Ali yang sama-sama memendam perasaan, kemudian berkahwin juga akhirnya walau tidak pernah meluahkan perasaan masing-masing. Satu kisah yang ‘sempurna’, tetapi jelas tidak punya tanda kesohihannya dari segi periwayatan dan sebagainya. Hanya satu kisah gula-gula, bagi memuaskan hati mereka yang ‘terlalu Islamik’ ini.
Akhirnya, di atas golongan ini juga, cinta menjadi sempit. Itu tidak boleh. Ini tidak boleh. Begitu tidak kena. Begini tidak kena. Kononnya hendak menjaga. Tetapi akhirnya urusan kahwin menjadi terlalu susah, dan seakan-akan berada dalam kisah fantasi sahaja.
Jangan terkejut jika saya ceritakan, dek kerana ‘terlalu Islamik’ ini, hingga ada tunang yang tidak mahu bercakap telefon dengan tunangnya dalam urusan perkahwinannya sendiri! Akhirnya, disebabkan hanya berhubung melalui teks SMS dan email sahaja, mereka salah faham dan hubungan menjadi retak.
Ya. Ideologi ‘terlalu Islamik’ ini nyata tidak berpijak di bumi yang nyata.
Sedangkan perkara ini sepatutnya tidak sekompleks itu.

Ibu Bapa Yang Silap.
Kembara saya ke arah rumah tangga membuatkan saya banyak bergaul dan memerhatikan dengan mereka yang bertaraf Ibu Bapa.
Satu stereotaip Ibu Bapa yang saya lihat di dalam urusan cinta anak-anak mereka adalah ‘kenegatifan mereka yang tinggi’ terhadap perasaan cinta anak-anak mereka.
“Jangan dok gatal sangat la eh.” Antara ayat biasa yang didengari sekiranya anak-anak memberitahu bahawa mereka jatuh hati kepada seseorang ketika usia mereka masih muda.
“Hang nak bagi anak orang makan apa? Pasir?” Satu lagi ayat yang biasa keluar.
Saya, minta maaf sebut di sini, merasakan tindakan dan layanan sebegini adalah tidak sepatutnya berlaku. Pada saya, ibu bapa yang anaknya luahkan perasaan cintanya kepada mereka, sepatutnya merasa bersyukur mempunyai anak yang sedemikian. Sekurang-kurangnya, Ibu Bapa masih dirujuk.
Maka sepatutnya, Ibu Bapa membuka ruang kepada perbincangan yang matang. Didik anak-anak agar melihat pro dan kontra terhadap percintaan mereka di usia muda. Inspirasikan anak-anak untuk bercinta dengan lebih matang, dengan mempunyai pendapatan sendiri, memahamkan mereka betapa rumah tangga adalah urusan pembinaan ummah yang tidak mungkin digerakkan dengan hanya perasaan semata-mata.
Kerana akhirnya, kenegatifan terhadap cinta ini membuatkan anak-anak yang ‘dibius’ cinta, merasakan ibu bapanya sedang menentang mereka dan akhirnya penentangan ini akan dibalas dengan ‘pemberontakan’ daripada pihak anak-anak.
‘Drama’ sebegini, akhirnya mewarnakan ‘cinta’ dalam hidup masyarakat.
Cinta+Anak Muda = Tidak matang.
Begitu akhirnya cinta dipandang.

Suasana Yang Tidak Membina.
Bagaimanakah cinta ditunjukkan di layar televisyen dan pawagam?
Jika kita perasan, sama ada daripada Hollywood atau MalayWood, masing-masing menunjukkan cinta yang tidak membina masyarakat. Cinta diwarnakan dengan amalan-amalan yang melanggar syariat. Ini membina stereotaip cinta.
Maka apabila kalimah ‘cinta’ disebut, terus manusia yang mendengarnya akan terbayangkan ‘adegan-adegan’ atau ‘aksi-aksi’ yang ditunjukkan pada layar televisyen dan pawagam.
Jangan terkejut sekiranya hari ini, ayat ‘lets make love’ di barat adalah bermaksud ‘lets have sex’.
Ya, begitu akhirnya cinta diwarnakan.
Hari ini pula, kita disibukkan dengan cinta-cinta Islamik, yang tidak pula membantu masyarakat menjernihkan fahaman mereka terhadap agung dan bersihnya cinta di sisi Islam. Jelas, yang ditunjukkan tetap hubungan lelaki dan perempuan, dengan hubungan yang masih tunggang terbalik batas syariatnya. Bezanya, hanyalah pakaian yang lebih Islamik dan ayat yang terlebih berbunga-bunga kononnya sopan.
Maka tidak hairanlah mereka yang ingin bercinta, mencontohi contoh-contoh ini, sekaligus sekali lagi menyumbang kepada stereotaip pandangan terhadap cinta.
Akhirnya cinta nampak rendah. Memalukan. Taboo bila disebut oleh anak muda.

Penutup: Begitulah Penyakit Cinta Masyarakat yang saya nampak.
Begitulah cinta dicalarkan. Begitulah cinta dipalitkan dengan arang kekotoran.
Hingga akhirnya tidak kelihatan wajah yang indah di dalam cinta. Keindahan di dalam cinta bahkan dipenjarakan dengan kalimah-kalimah seperti ‘angau’, ‘kemaruk’, ‘fantasi’ dan sebagainya. Hal ini kerana, setiap kali keindahan cinta mahu ditunjukkan oleh tangan-tangan yang tidak memahaminya, mereka akan mengiringinya dengan keadaan ‘lalai’ dan ‘alpa’.
Kalau cerita itu Islamik sedikit, akan ditambah ‘astaghfirullah’. Ini semua memberikan fitnah kepada cinta.
Ya. Di dalam perjalanan saya ke arah rumah tangga, saya bertemu dengan penyakit-penyakit ini di dalam masyarakat. Betapa cinta telah disempitkan, dan diperusukkan ke satu sudut yang kotor lagi menjijikkan.
Hingga cinta kelihatan seperti satu dosa..
Dan dikelaskan sebagai salah satu perkara yang ‘membawa kepada zina’.
Hingga saya melakar cita-cita, untuk membersihkan cinta ini, dan memberikan warna yang selayaknya buatnya.
Antara sebab mengapa saya menulis “Sebelum Aku Bernikah Ini”.

2 comments:

suka sangat enrty nih

Author

share jer entry nih...kasi smua bca..:)

Post a Comment