Saturday, April 7, 2012

Kematian jadikan manusia lebih hargai tubuh, roh

| |
FIRMAN Allah bermaksud: "Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun kamu berada di dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh)." (Surah an-Nisa’, ayat 78) Semua makhluk ciptaan Allah di seluruh pelosok alam ini tidak akan kekal. Tiba masa dan detiknya nanti, semua akan mati menandakan berakhir sebuah riwayat kehidupan. Hanya Allah kekal abadi.

Biarpun pelbagai usaha dibuat terutama oleh golongan yang mempunyai banyak wang untuk mengelak daripada bertemu kematian. Semua usaha itu tidak akan ke mana kerana kita hanya menunggu giliran untuk dicabut nyawa oleh malaikat suruhan Allah. 

Ulama membahagikan kematian kepada dua. Pertama, mati kecil iaitu tidur dan keduanya mati besar iaitu mati yang sebenarnya. 

Islam amat menggalakkan umatnya sentiasa mengingati mati kerana sudah pasti setiap daripada kita lebih bersiap sedia menempuhinya. Bersedia dalam erti kata melengkapkan roh dan jasad dengan amalan serta ibadat yang banyak.

Diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sebelum ini aku telah melarang kamu daripada menziarahi kubur dan sekarang ziarahilah. Sesungguhnya dengan menziarahi kubur akan mengingatkan kamu kepada alam akhirat.” 

Ibadat sembahyang ada hubung kait dengan ingatan kepada kematian. Setiap kali menunaikan ibadat solat, sekurang-kurang dua kali kita menyebut ‘Yaumuddin’ yang pastinya mengingatkan kita kepada Hari Kiamat, sebuah alam abadi bakal dihuni apabila tamatnya riwayat hidup alam fana ini.

Begitu juga sewaktu membaca doa iftitah pada permulaan solat dengan menyebut kalimah ‘wamamati’ turut menginsafkan supaya sentiasa mengingati akan kematian.

Dari sudut prinsip, kematian adalah hala tuju kehidupan insan untuk menghargai tubuh badan dan roh kurniaan Allah. Dengan rasa penuh tanggungjawab dan iltizam dalam diri, kematian akan membangkitkan kesedaran untuk lebih hampir ke sisi Tuhan. 

Nilai kehidupan yang dilalui seharian sentiasa mengimbangkan keperluan duniawi dan tuntutan ukhrawi. Terdapat salah faham umat Islam hari ini yang beranggapan orang lebih lanjut usia lazimnya akan pergi terlebih dulu menghadap Allah Taala. 

Salah faham begini bukan saja menafikan keadilan Allah, malah boleh membawa diri seseorang itu untuk berpaling daripada tuntutan agama sebenar. Sebabnya, mereka leka dan alpa dengan nikmat dunia kerana beranggapan hari tua masih jauh untuk beramal ibadat, sebelum kematian menjengah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang semakin lanjut usianya semakin baik amal perbuatannya. Sejahat-hajat manusia adalah mereka yang dilanjutkan usianya, tetapi semakin buruk pula amal perbuatannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Ibnu Umar pernah berkata: “Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hingga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.” 

Wasiat Nabi mengingatkan, kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan bagi menghadapi Allah SWT pada hari penuh dengan persoalan di padang Mahsyar.

Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah, tetapi kejahatan yang kita buat semasa hidup di dunia, semua akan ditayangkan semula di hadapan Allah.

Diceritakan, Lukman Hakim mempunyai seorang anak lelaki yang cukup degil. Beliau terpaksa menempuh kesukaran dan kepahitan hidup untuk mendidik anaknya yang keras hati itu. Banyak usaha dan cara dibuat untuk mengubah keadaan anaknya itu, tetapi semuanya gagal. 

Sehinggalah pada suatu ketika Lukman telah membawa anaknya itu menziarahi kubur setiap kali adanya kematian. Lalu, tidak lama kemudian, anaknya itu mula insaf dan sedar akan hakikat sebuah kehidupan yang akan diakhiri dengan kematian.

Sumber : BH(Agama)

0 comments:

Post a Comment