Showing posts with label Karya Langit Ilahi. Show all posts
Showing posts with label Karya Langit Ilahi. Show all posts

Saturday, August 11, 2012

Strategi Memburu Lailatur Qadr

| |
0 comments


Saya kongsikan beberapa tips untuk memburu Lailatul Qadr, antara pakej istimewa yang ditawarkan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang beriman yang benar-benar mengharapkan keampunan daripada Allah SWT di dalam Bulan Ramadhan al-Mubarak :-

(1)    Di 10 malam akhir ini, niat kita hanya satu sahaja. Semuanya adalah untuk memperolehi keredhaan Allah SWT semata-mata. Tiada yang lain. Kejernihan, keputihan dan keikhlasan kita dalam beramal adalah kunci utama kepada penerimaan amal oleh Allah SWT.

(2)    Kita semak dan tentukan siap-siap tempat untuk kita lakukan ibadah. Ramai ulama menasihatkan kita laksanakan fokus ini melalui iktikaf di masjid atau surau berhampiran dengan rumah kita. Tentukan siap-siap lokasi masjid atau surau yang menjadi pilihan kita. Kat rumah tidak boleh ka? Boleh, Cuma bimbang tidak menjadi nanti.^^

(3)    Ajak teman, sahabat atau keluarga untuk sama-sama menjayakan rancangan yang istimewa ini. Jika ada peneman, kita rasa lebih kuat, bersemangat dan terdorong untuk buat bersama. Kebersamaan ini banyak manfaat dan kebaikannya.

(4)    Jika boleh kita susun untuk bermalam di masjid atau surau pada tiap-tiap malam di penghujung 10 malam terakhir Ramadhan. Sekiranya, tidak boleh kita letak keutamaan kepada malam-malam yang ganjil. Tujuannya, agar wujudnya suasana, mode dan persekitaran kondusif untuk “bermanja-manja” dengan Allah SWT

(5)    Strategi dalam beramal tentunya harus diperhalusi dengan bijak. Kepelbagaian bentuk-bentuk amalan kerohanian akan memberikan kesan yang signifikan kepada kita. Tidak akan rasa jemu, bosan dan terbeban. Justeru, qiamullail di malam hari bukan solat semata-mata : kita boleh gandakan amalan dengan amalan seperti istighfar, zikir, membaca Al-Quran dan sebagainya.

(6)    Jika mengantuk, kita ambil wudhuk untuk menyegarkan semula badan kita. Namun, langkah terbaik kita peruntukan masa rehat dan tidur sebentar di waktu siang untuk membolehkan kita segar dan cergas di malam hari.

(7)    Kita bersiap sedia dengan zikir, doa dan hajat khusus yang telah kita rancang daripada awal. Amalkan doa-doa yang mathur ( yang diajarkan oleh Rasulullah SAW) dan hajat-hajat kita yang terbuku dihati. Luahkan, adukan dan  nyatakan dalam setiap bait-bait lantunan munajat kita di setiap tadahan tangan dengan penuh kesungguhan dan pengharapan. Yakin sepenuhnya bahawa Allah SWT akan mengabulkannya.

Waktu-waktu sepertiga malam adalah waktu yang hening lagi penuh barakah. Ia adalah saat-saat titik terdekat kita dengan Allah SWT. Tatkala dahi kita mencecah lantai bumi, tentunya terasa suatu kelainan jika linangan air mata penuh keinsafan membasahi pipi  lalu mengalir perlahan-lahan jatuh ke bawah .  Pastinya, suasana itu akan kita rindu buat selama-lamanya.

Rasailah kehangatan, keindahan dan keasyikan bermunajat, berdoa dan beribadat di sepertiga malam di 10 akhir Ramadhan. Seruan ini begitu menusuk jiwa-jiwa mereka yang hajatkan keampunan, keredhaan dan kerahmatan daripada Allah SWT.
Andaikata inilah Ramadhan yang terakhir buat kita, marilah sama-sama kita jadikan fasa ini sebagai terminal terakhir  untuk kita berikan fokus, tumpuan dan perhatian 100 %. Dengan pecutan jiwa, semangat membara dan tindakan penuh keimanan dan kesungguhan , InsyaAllah – kita akan meraih “sesuatu” daripada Ramadhan 1433 H ini.

Sumber : LangitIlahi
Read More

Saturday, June 30, 2012

6 Kunci Kejayaan menurut Imam al-Haramain

| |
0 comments

Key of success.


Assalamu'alaikum semua para pembaca blog saya yang tersayang, rindu sangat dengan semua. Sudah lama sangat kita tidak beriteraksi dek kerana kesibukkan saya sekarang sebagai pelajar ijazah sarjana muda tahun pertama. Baru-baru ini saya ada membaca website Langit Ilahi dan ada beberapa entry yang memberi manfaat kepada kita semua. Siapa yang tidak mahu kejayaan? Mestilah semua inginkan kejayaan tidak kira di dunia mahupun di akhirat kelak. Di sini saya kepilkan beberapa tips untuk mencapai kejayaan menurut Imam Juwaini yang juga digelar Imam al-Haramain


  1. Harus punyai akal yang bergeliga. Apa maknanya? Akal kita harus disinari dan disuluhi dengan ilmu-ilmu yang benar, sahih dan betul. Namun, ia tidak cukup sekadar itu – hati juga harus dicahayakan dengan amalan soleh agar akan terus menerus bersih, jernih dan putih. Akal dan hati – ia punyai hubungan “istimewa” antara keduanya.
  2. Memiliki sifat bersungguh-sungguh yang luar biasa. Buang jauh-jauh sifat malas, culas dan sambil lewa. Asas kepada bersungguh-sungguh ini ialah tekun, cekal dan gagah. Tanpa usaha segigih ini, janganlah kita mengharapkan apa-apa keajaiban dalam kehidupan kita yang singkat ini.
  3. Merasai diri kita ini serba kekurangan dan kekerdilan. Kita akui kita ini kerdil, kecil dan tiada apa-apa. Kita tahu batasan kelemahan kita dan bermula dari situ kita melonjak naik dengan perasaan sentiasa “sedar diri.” Tidak ego, bongkak dan sombong. Rendah diri adalah rahsia insan-insan yang hebat zaman berzaman.
  4. Banyak bermusafir dan mengembara di perantauan. – Maknanya, belajar jauh-jauh daripada kampong halaman. Kerana apa? Kita akan dapat dua perkara serentak iaitu ilmu dan juga semangat berdikari.
  5. Harus dipandu oleh mentor, ustaz atau mursyid. Untuk cemerlang, kita wajib  mempunyai guru yang membimbing, membetulkan dan menyantuni kita. Asas ini penting dalam usaha-usaha menuntut ilmu. Perlu ada guru dan anak murid. Jika tidak, syaitanlah yang menjadi tok guru kita. Awas dalam bab ini.
  6. Dan, akhirnya tempoh masa yang panjang. Untuk berjaya, menjadi pakar dan mahir dalam sesuatu perkara ia memakan masa yang lama. Justeru itu, memperuntukan masa untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi adalah modal utama untuk menjadi seorang yang berjaya di masa hadapan.
Sekian sahaja, saya berharap tip-tip ini mampu memberi semangat kepada anda semua, tambah-tambah kepada individu yang bergelar pelajar. Perkara yang paling penting ialah usaha.Jangan lupa untuk mengikuti entry-entry saya yang lain dan saya bukan hanya bersembang semata-mata tetapi sembang yang memeri faedah serta manfaat yang cukup untuk anda semua. Assalamu'alaikum.

Sumber : Langit Ilahi
Read More

Monday, April 9, 2012

Sebelum Aku Bernikah – Memahami Penyakit Cinta Masyarakat

| |
2 comments
Picture by http://pinkparis1233.deviantart.com/
Menjengah alam kembara ke rumah tangga ini, saya menjadi banyak memerhati. Bersembang dengan para veteran dalam kehidupan, saya juga bersembang dengan mereka yang seangkatan dengan saya berkenaan cinta dan pernikahan. Saya juga mula meneliti konsep cinta yang dijadikan ‘perlembagaan’ oleh masyarakat.
Saya melihat betapa cinta yang hari ini diguna pakai oleh masyarakat, bukanlah cinta yang sebenarnya. Dari satu sisi, digelar itu semua cinta adalah kerana terletak di dalamnya ‘kasih dan sayang’. Namun, saya mempunyai definisi tersendiri terhadap cinta. Bukanlah pada coretan kali ini mahu saya kongsikannya.
Cukuplah kali ini saya mencoret, bagaimanakah ‘cinta’ itu dilihat oleh masyarakat hari ini.
Couple.
Satu perkara yang saya lihat, cinta semestinya dikaitkan dengan couple. Bila perkataan cinta disebut, maka ‘couple’, atau berpasangan bebas antara lelaki dan perempuan seakan-akan mengiringi lafaz tersebut.
Hingga manusia menjadi skeptik dengan cinta. Sebab itu saya tidak hairan dengan sindiran-sindiran para veteran apabila disebut berkenaan cinta. “Hish, kau jangan nak gatal sangat. Anak orang tu. Jangan rosakkan!” Sebab di dalam mindanya, terbayang couple bebas tidak punya batas itu.
Tidak kurang juga manusia-manusia yang ‘ahli agama’, bila dibicarakan cinta, terus diharamkan. “Cinta sebelum nikah, haram!” Kerana di dalam benaknya, sudah mempunyai satu ‘equation’ di mana cinta itu mestinya akan ada couple di dalamnya.
Ya. Begitulah stereotaip rata-rata manusia berkenaan cinta. Mesti dikaitkan dengan berpasangan tanpa batas dan pergaulan yang melanggar syariat.
Dengan pandangan sebegini, cinta menjadi sempit dan kelihatan terlalu buruk untuk wujud di dalam jiwa mereka yang belum bernikah. Kerana belum apa-apa, cinta sudah disekalikan dengan couple.
Tidak boleh hendak disalahkan mereka yang stereotaip ini juga. Memandangkan memang begitulah cinta diwarnakan oleh dunia. Bila cinta, diwarnakan dengan pegangan tangan antara bukan mahram, berdua-duaan, keluar bersama tanpa temanan mahram, dan berhabisan kredit serta wang untuk pembuktian cinta. Bahkan, ada yang menggadaikan maruah, semuanya di atas nama cinta.
Ya. Bagaimanalah cinta tidak terperangkap di dalam pandangan negatif orang?
Begitulah ‘warna’ cinta hari ini.

Terlalu Islamik.
Memandangkan sudah begitu buruk cinta dipandang, maka dalam kembara saya ke rumah tangga ini, saya menjumpai pula golongan yang terlalu islamik.
Terlalu Islamik ini hinggakan timbul kepercayaan yang pelik-pelik. Saya berikan satu contoh mudah terlalu Islamik sampai timbul kepercayaan pelik-pelik ini.
“Saya menanti dia yang telah tertulis untuk saya di lauh mahfudz sana.”
Ya. Ayat ini kelihatan Islamik kerana ada perkataan ‘menanti’ dan ‘lauh mahfudz’. Tetapi di hadapan saya, saya melihat ini adalah nyata satu ayat yang sangat silap dari ajaran agama.
Pertamanya, siapa yang tahu jodohnya siapa? Jadi bagaimana mahu menanti? Alangkan yang berkahwin pun bercerai. Yang berkahwin pun mati, dan yang hidup kahwin lain. Jadi benda ini terlalu besar untuk kita yakin bahawa seseorang itu adalah ‘jodoh saya’. Lebih menguatkan lagi pendapat saya ini adalah, dari manakah kita mahu tahu bahawa ‘dia itu jodoh saya?’. Nyata tiada jawapan konklusif untuk itu, bukan? Kerana jelas, jodoh itu urusan Allah SWT.
Keduanya, bagaimana ‘menanti’ ini boleh dijustifikasikan, sekiranya Allah SWT sendiri memberikan isyarat agar kita ‘memilih’? Tidakkah kita membaca firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.” Surah Al-Baqarah ayat 221.
                Jelas jika semuanya telah ditetapkan di Lauh Mahfudz sana, buat apa ada arahan untuk kita pilih antara yang musyrik dan yang beriman? Mungkin kita boleh nyatakan telah tertulis di Lauh Mahfudz. Tetapi kita tahukah siapa? Tidakkah kita mengetahui bahawa Allah SWT sendiri mengarahkan manusia agar berusaha? Dalam bab cari makan, kita tahu pergi cari. Mengapa dalam bab jodoh, kita boleh pilih untuk menanti? Dalam bab kecemerlangan peperiksaan, kita tahu mahu studi. Mengapa dalam bab jodoh, kita boleh berdiam diri?
Itu satu contoh terlalu islamik.
Banyak lagi. Sehingga keluar cerita Fatimah dan Ali yang sama-sama memendam perasaan, kemudian berkahwin juga akhirnya walau tidak pernah meluahkan perasaan masing-masing. Satu kisah yang ‘sempurna’, tetapi jelas tidak punya tanda kesohihannya dari segi periwayatan dan sebagainya. Hanya satu kisah gula-gula, bagi memuaskan hati mereka yang ‘terlalu Islamik’ ini.
Akhirnya, di atas golongan ini juga, cinta menjadi sempit. Itu tidak boleh. Ini tidak boleh. Begitu tidak kena. Begini tidak kena. Kononnya hendak menjaga. Tetapi akhirnya urusan kahwin menjadi terlalu susah, dan seakan-akan berada dalam kisah fantasi sahaja.
Jangan terkejut jika saya ceritakan, dek kerana ‘terlalu Islamik’ ini, hingga ada tunang yang tidak mahu bercakap telefon dengan tunangnya dalam urusan perkahwinannya sendiri! Akhirnya, disebabkan hanya berhubung melalui teks SMS dan email sahaja, mereka salah faham dan hubungan menjadi retak.
Ya. Ideologi ‘terlalu Islamik’ ini nyata tidak berpijak di bumi yang nyata.
Sedangkan perkara ini sepatutnya tidak sekompleks itu.

Ibu Bapa Yang Silap.
Kembara saya ke arah rumah tangga membuatkan saya banyak bergaul dan memerhatikan dengan mereka yang bertaraf Ibu Bapa.
Satu stereotaip Ibu Bapa yang saya lihat di dalam urusan cinta anak-anak mereka adalah ‘kenegatifan mereka yang tinggi’ terhadap perasaan cinta anak-anak mereka.
“Jangan dok gatal sangat la eh.” Antara ayat biasa yang didengari sekiranya anak-anak memberitahu bahawa mereka jatuh hati kepada seseorang ketika usia mereka masih muda.
“Hang nak bagi anak orang makan apa? Pasir?” Satu lagi ayat yang biasa keluar.
Saya, minta maaf sebut di sini, merasakan tindakan dan layanan sebegini adalah tidak sepatutnya berlaku. Pada saya, ibu bapa yang anaknya luahkan perasaan cintanya kepada mereka, sepatutnya merasa bersyukur mempunyai anak yang sedemikian. Sekurang-kurangnya, Ibu Bapa masih dirujuk.
Maka sepatutnya, Ibu Bapa membuka ruang kepada perbincangan yang matang. Didik anak-anak agar melihat pro dan kontra terhadap percintaan mereka di usia muda. Inspirasikan anak-anak untuk bercinta dengan lebih matang, dengan mempunyai pendapatan sendiri, memahamkan mereka betapa rumah tangga adalah urusan pembinaan ummah yang tidak mungkin digerakkan dengan hanya perasaan semata-mata.
Kerana akhirnya, kenegatifan terhadap cinta ini membuatkan anak-anak yang ‘dibius’ cinta, merasakan ibu bapanya sedang menentang mereka dan akhirnya penentangan ini akan dibalas dengan ‘pemberontakan’ daripada pihak anak-anak.
‘Drama’ sebegini, akhirnya mewarnakan ‘cinta’ dalam hidup masyarakat.
Cinta+Anak Muda = Tidak matang.
Begitu akhirnya cinta dipandang.

Suasana Yang Tidak Membina.
Bagaimanakah cinta ditunjukkan di layar televisyen dan pawagam?
Jika kita perasan, sama ada daripada Hollywood atau MalayWood, masing-masing menunjukkan cinta yang tidak membina masyarakat. Cinta diwarnakan dengan amalan-amalan yang melanggar syariat. Ini membina stereotaip cinta.
Maka apabila kalimah ‘cinta’ disebut, terus manusia yang mendengarnya akan terbayangkan ‘adegan-adegan’ atau ‘aksi-aksi’ yang ditunjukkan pada layar televisyen dan pawagam.
Jangan terkejut sekiranya hari ini, ayat ‘lets make love’ di barat adalah bermaksud ‘lets have sex’.
Ya, begitu akhirnya cinta diwarnakan.
Hari ini pula, kita disibukkan dengan cinta-cinta Islamik, yang tidak pula membantu masyarakat menjernihkan fahaman mereka terhadap agung dan bersihnya cinta di sisi Islam. Jelas, yang ditunjukkan tetap hubungan lelaki dan perempuan, dengan hubungan yang masih tunggang terbalik batas syariatnya. Bezanya, hanyalah pakaian yang lebih Islamik dan ayat yang terlebih berbunga-bunga kononnya sopan.
Maka tidak hairanlah mereka yang ingin bercinta, mencontohi contoh-contoh ini, sekaligus sekali lagi menyumbang kepada stereotaip pandangan terhadap cinta.
Akhirnya cinta nampak rendah. Memalukan. Taboo bila disebut oleh anak muda.

Penutup: Begitulah Penyakit Cinta Masyarakat yang saya nampak.
Begitulah cinta dicalarkan. Begitulah cinta dipalitkan dengan arang kekotoran.
Hingga akhirnya tidak kelihatan wajah yang indah di dalam cinta. Keindahan di dalam cinta bahkan dipenjarakan dengan kalimah-kalimah seperti ‘angau’, ‘kemaruk’, ‘fantasi’ dan sebagainya. Hal ini kerana, setiap kali keindahan cinta mahu ditunjukkan oleh tangan-tangan yang tidak memahaminya, mereka akan mengiringinya dengan keadaan ‘lalai’ dan ‘alpa’.
Kalau cerita itu Islamik sedikit, akan ditambah ‘astaghfirullah’. Ini semua memberikan fitnah kepada cinta.
Ya. Di dalam perjalanan saya ke arah rumah tangga, saya bertemu dengan penyakit-penyakit ini di dalam masyarakat. Betapa cinta telah disempitkan, dan diperusukkan ke satu sudut yang kotor lagi menjijikkan.
Hingga cinta kelihatan seperti satu dosa..
Dan dikelaskan sebagai salah satu perkara yang ‘membawa kepada zina’.
Hingga saya melakar cita-cita, untuk membersihkan cinta ini, dan memberikan warna yang selayaknya buatnya.
Antara sebab mengapa saya menulis “Sebelum Aku Bernikah Ini”.
Read More

Monday, April 2, 2012

Mengapa Bukan Kamu Yang Bercouple Dengan Dia?

| |
0 comments
t
Picture by jessica tjok photography - http://squeakingshoeless.deviantart.com/

Couple dan lompong kasih sayang

Mengapa bercouple?
Jatuh cinta. Mungkin itu satu jawapan yang popular.
Tetapi bagaimana boleh sampai bercouple? Pastinya ada ‘tragedi’ orat mengorat atau apa-apa yang menyentuh hatinya.

Apa yang ada dalam seni mengorat ni? Ungkapan-ungkapan sayang, hadiah-hadiah yang mengisi kasih, momen-momen indah yang tak dapat dilupakan, ambil berat dan pemberian perhatian, serta banyak lagi perkara yang didahagakan oleh fitrah manusia.
Itulah dia yang membawa kepada bersatunya dua manusia di atas nama couple. Apabila berada di alam couple, berganda-gandalah lagi keindahan itu.

 Setiap kali birthday disambut dan diingati, hadiah-hadiah sempena hari tertentu pasti menghadiri, bertanya khabar dan mengambil berat satu sama lain, ungkapan-ungkapan cinta ala-ala rome dan juliet yang mampu mencairkan hati dan sebagainya yang menghiasi  dunia mereka menjadi indah. Tidak kurang juga yang berbalas tazkirah dan peringatan. Couple islamik kononnya.

Mengapa seseorang itu bercouple?
Kerana lompong kasih sayang yang wujud di dalam jiwa mereka terisi.
Di sinilah timbul persoalan.
Kalau anda tidak suka kawan anda bercouple, mengapa bukan anda yang mengisi lompongan yang ada di dalam jiwa mereka itu?

Bila suci tak dijaga, bila kotor dihina-hina

Kita ini hakikatnya  tidak cinta dengan sahabat kita secinta-cintanya. Kita tak ambil berat fasal dia. Tanya khabar pun tidak. Ungkap sayang jauh sekali. Hadiah jangan cerita la, lagi tak diberi.  Birthday pun tak tahu bila hari. Berjumpa pun tak bertukar senyum. Peluk kasih pun tidak pernah.

Kemudian bila sahabat kita terjerumus ke lembah kekotoran, menumpang kasih kepada manusia yang hendak memberikannya kasih, kita menghina-hinanya.
Persoalan sekarang, mengapa sampai dia perlukan kasih sayang orang lain sampai dah tak kenal halal haram?

Kerana kita, sahabatnya yang halal ni, tak mengisi kehidupannya.
Bagaimana ukhuwwah kita dengannya? Adakah kita telah memenuhi hak-hak mereka? Adakah kita membina jambatan hati antara jiwa mereka dengan kita? Adakah kita mendoakannya?

Apabila wujud keakraban

Posibiliti untuk seseorang itu bercouple apabila lompong kasih sayang di dalam jiwanya telah terisi adalah sangat tipis.
Tetapi masih ada juga yang telah kita berikan kasih sayang, dan dia juga merasa kasih kepada kita, tetapi dia bercouple. Masih ada. Bukan saya kata tidak ada.

Namun ada beza. Ada beza antara dia bercouple dan kita tidak akrab dengannya, dan dia bercouple dalam keadaan kita akrab dengannya. Bezanya adalah, kita lebih mudah hendak menegurnya. Kita lebih mudah hendak menyedarkannya. Hal ini kerana, kita dengan dia, saling kasih mengasihi. Kita adalah sahabatnya yang terbaik.

Kita memberikannya hadiah semasa hari lahirnya, kita caring dengannya, kita ungkapkan sayang kita kepadanya, kita belanja dia makan, kita sentiasa bersama dengannya, dan berbagai lagi yang kita lakukan untuk membina jambatan hati antara kita dengannya.
Mustahil dia tidak membuka hati mendengar bicara kita.
Apatah lagi, kita berhikmah dengannya.

Satu cerita saya

Saya mempunyai seorang junior yang bercouple. Ya, memang apabila mendengar dia bercouple, hati memang sedih. Namun, Alhamdulillah, saya selama ini menjaga hubungan dengannya. Bahkan berusaha merapatinya serapat yang mungkin. Masa birthday bagi hadiah, lapang-lapang tanya khabar, ada peluang belanja makan, ada masa ziarah rumah dan sebagainya.

Apabila mendengar dia bercouple, saya mengajaknya bersama saya duduk-duduk lepak-lepak. Kami bersembang pelbagai perkara. Bertepuk tampar bersama apabila bercanda. Diam bersama apabila mengenang sesuatu yang mungkin setimental.

Bila melihat peluang yang sesuai mengutarakan isu dia bercouple, saya berkata:
“Ana dengar, enta ada cerita hot”
Dia tersengih. “Apa yang hot-hot ni?”
“Siapa nama Si Dia tu? Timah(bukan nama sebenar)? Senah(bukan nama sebenar)?” Saya bergurau.  Sedangkan saya tahu aja nama sebenar couplenya itu.
Dia ketawa. “Umairah(bukan nama sebenar) la bro”

Saya membiarkan dia bercerita itu dan ini berkenaan couplenya. Saya juga menyoal-nyoal beberapa soalan  seperti cantik ke? Orangnya macam mana? Asal mana orangnya? Dan begitulah kami bersembang-sembang.

Bila dia berhenti menceritakan couplenya itu, saya berkata kepadanya.
“Enta rasa, orang macam dia, boleh didik anak-anak enta?”
Dia diam. Dan saya berkata: “Ana tak kenal dia. Ana bukan nak hitung couple enta. Ana cuma nak enta yang hitung dia. Enta kenal dia kan? Dah pernah sembang kan? Dah pernah jumpa kan? Cuba enta fikir panjang-panjang.”

Dia tersengih. Diam lama. Kami diam bersama lama malam itu.
Kemudian kami bersembang lagi. Saya membicarakan seputar keredhaan Allah dalam hidup, bagaimana membina keluarga, konsikuensi apabila dasar cinta itu tidak benar dan sebagainya. Dia mendengar dan sekali sekala memberikan pendapat.

Akhirnya dia bersuara: “Ana sebenarnya, rasa  tak senang juga dengan benda ni”
Kemudian dia menceritakan ketidak senangannya, keresahannya, kegelisahannya, kerisauannya. Saya membiarkan dia menceritakan semuanya. Dia rupanya buntu mencari jalan keluar dan tak mampu mengeluarkan dirinya dari suasana itu.

Maka saya memberikannya semangat, beberapa tips dan pandangan. Akhirnya…
“Bro, enta bagitahukan mak ana boleh?  Kata ana tak couple dah. Esok ana sms dia minta berhentikan hubungan kami”  Itu konklusi yang dia buat sendiri.
Dan saya diam sambil tersenyum.
“Kalau enta rasa itu yang terbaik, insyaAllah ana bagitahu mak enta. Mesti dia gembira.”
Itulah cerita saya dengan sahabat saya itu.

Saya kira, kalau selama ini jambatan hati itu tidak saya bina, mustahil dia boleh mendengar apa yang saya utarakan kepadanya pada pukul 3 pagi itu. Pastinya dia boleh memberikan 1001 alasan untuk meninggalkan saya pukul 3 pagi itu. Pastinya dia boleh sahaja memarahi saya agar tidak sibuk dengan urusan peribadinya.

Tetapi jambatan hati+uslub menegur+doa kepada Allah, itu adalah formula yang mustajab.
Sepatutnya, kita mampu melakukan ini. Hal ini kerana kita ‘couple’nya yang halal sebelum dia beristeri atau dalam kes perempuan, dia bersuami.

Samalah Dengan Apa Pun Masalah Lain

Samalah dengan kes putus cinta sampai rasa nak murtad dan sebagainya. Jangan kita cela dia dengan kekecewaan dia dan kelemahannya. Dia sedang Allah uji. Mengapa tidak kita yang Allah SWT belum uji ini, pergi mengisi jiwanya. Memapahnya kembali.

Kita dengar cerita dia. Kita tanya apa masalahnya. Kita pegang tangannya. Kita peluk tubuhnya. Cukuplah sekadar dia merasakan bahawa, cinta, perempuan, lelaki, bukanlah satu-satunya yang dia ada. Biarlah dia merasakan bahawa, dia ada kita.
Manusia ini, tidak akan mampu kuat dengan sendiri.
Manusia perlukan teman.

Tidakkah kita melihat Adam yang berada di syurga, juga kesunyian, lantas Allah berikan dia Hawwa? Tanda manusia juga memerlukan manusia, dan Allah SWT memahaminya.
Maka mengapa tidak kita, berusaha mengisi kekosongan sahabat sejantina kita itu? Pimpin dia, agar mampu berjalan di atas jalanNya dengan baik. Sama-sama saling lengkap melengkapi.
Tidakkah kita mendengar firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.” Surah Al-Hujurat ayat 10.

Penutup: Kita isi hatinya.

Setiap orang ada masalahnya. Kalau orang jauh, boleh lah kita usahakan tegur dengan artikel dan sebagainya. Tetapi sahabat kita, yang tinggal dengan kita, yang hidup dengan kita, yang sekelas dengan kita, takkan la kita  tak boleh usahakan lebih dari sekadar teguran?
Manusia perlukan sentuhan.
Pernahkah kita menyentuh hati dan jiwa sahabat kita? Pernahkah kita isi kekosongan hatinya? Pernahkah kita memimpinnya? Pernahkah kita mengungkapkan kepadanya bahawa kita sayang kepadanya? Dan pernahkah kita membuktikan sayang kita itu kepadanya?
Di sini, kita memerhatikan kembali situasi ini.

“Bagaimana hendak menegur kawan perempuan saya yang bercouple?”
“Kamu bercouple tak dengan kawan kamu itu?”
Kalau sekadar sebut Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Surah Al-Israa’ ayat 32 tu, semua orang boleh bagi.

Persoalannya, siapa yang betul-betul usaha bimbing sahabatnya dalam hal “Dan janganlah kamu menghampiri zina”?
Justeru, sekarang, baik mula couple dengan sahabat sendiri.
Mengisi kelompongan hatinya. Dan insyaAllah, kelompongan hati kita juga terisi.

Sumber : Langit Ilahi
Read More

Friday, March 30, 2012

Lembik Kerana Jodoh&Cinta...

| |
0 comments
Picture by http://shattermydreams.deviantart.com/
Tidak dinafikan betapa Cinta adalah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan ini. Sungguh kita mengangkat cinta menjadi salah satu perkara yang sangat penting buat diri. Percayalah bahawa, sehingga dunia ini kiamat sekalipun, perbincangan berkenaan cinta tidak akan terhenti.
Namun apa yang saya lihat merugikan adalah, keterujaan ini akhirnya membuahkan efek yang buruk kepada masyarakat, terutama dalam pembinaan kehidupan seorang remaja. Bahkan kadangkala, ianya memasuki teritori Aqidah, dan mengeluarkan pendapat tidak selari dengan Aqidah yang sepatutnya. Semua kerana mabuk dengan teori-teori cinta.
Di sini, bukanlah cinta yang kotor sahaja bermasalah. Tetapi, cinta yang dianggup suci, menjaga syara’ pun,kadangkala membawa padah.
Sememangnya yang terbaik adalah bersederhana.
Keterujaan melampau tidak akan pernah membawa kepada kebenarannya.
Itu ini Cinta. Itu ini Jodoh.
Baru berbicara sebentar, dada berdegup kencang, jiwa sudah bertanya: “Apakah dia jodohku?”
Baru berhubungan di Facebook beberapa ketika, jumpa pun tidak pernah, kemudian hati mula tersentuh sedikit, maka diri mula bertanya: “Apakah mungkin dia jodohku?”
Kadangkala di’usik’ sedikit melalui mimpi, termimpikan wajah yang iras si dia, hidup sudah jadi resah dan gelisah, lantas hati tertanya-tanya: “Apakah ini ketetapan TakdirNya? Dia Jodohku?”
Dan bermulalah kita bergerak membicarakan perihal keindahan cinta, dan bagi mereka yang masih belum tamat studi pula sibuk merangka karangan perihal Boleh Berkahwin Awal dan sebagainya. Dibangkitkanlah perihal istikharah untuk mengetahui apakah benar itu jodoh kita dan sebagainya. Tidak dilupakan juga mula mencari doa-doa mencari jodoh dan sebagainya.
Segalanya kita katakan cinta, dan dengan mudahnya kita katakan itu ini jodoh kita.
Tanpa berfikir dua-tiga kali. Tanpa membuat perancangan yang lebih kukuh lagi.
“Ala, lebih baik kahwin awal dari berzina.” Dan itulah yang sering dilontarkan sebagai justifikasi. Seakan-akan perkahwinan itu satu rekreasi, dan hanya berkait dengan dua merpati sejoli. Itu ini Cinta. Itu ini Jodoh. Dan itu sahaja yang bermain di dalam pemuda-pemudi yang dimabukkan cinta ini.

Keluarga Itu Pembinaan Ummah.
Satu perkara yang perlu jelas dan ditegaskan ke dalam diri adalah, Ummah itu dibina dari keluarga-keluarga. Justeru, hendak melahirkan ummah yang kuat, maka hendaklah kita membina keluarga yang kuat. Keluarga yang kuat adalah keluarga yang utuh dengan kefahaman agamaNya, dan mampu memberikan manfaat kepada Islam. Menjadi batu-bata yang teguh terhadap pembinaan Ummah.
Justeru, dalam perjalanan cinta seseorang itu, perlulah hakikatnya dimulakan dengan kefahaman ini. Barulah punya hati yang tegap dan mantap, juga pandangan yang jelas, berkenaan ‘apa yang dia mahukan’. Kerana, bagi yang memahami kebenaran ini, maka ‘apa yang dia mahukan’ adalah ‘apa yang Islam mahukan’.
Tidaklah dia akan mudah tersentuh dengan ‘Oh, ini mungkin jodohku’ semudah dengan hanya beberapa kali berurusan, atau mungkin pernah sekali melihat wajahnya, atau mungkin selepas berbicara lama di Facebook dan sebagainya. Tidak. Tidak sesekali dia akan dirikan keluarganya dengan dasar serapuh itu.
Perasaannya tidak akan dipandu tanpa pemandu yang jelas. Bukan dipandu oleh perasaan itu sendiri. Tetapi perasaannya akan dipandu keimanan dan kematangan. Dan dia akan bergerak membina diri dan peribadi.
‘Usik’an cinta memang akan datang. Hatta selepas kahwin. Maka apakah itu masih ‘cinta’? Selepas kahwin, kita akan katakan tidak. Maka hakikatnya, sebelum kahwin, ianya sama juga. Tinggal kitalah yang membuat pilihan, apakah itu yang kita mahukan sebagai cinta kita?
Maa sekiranya kita memahami bahawa keluarga adalah pembinaan kepada ummah, mahukan kita memilih cinta yang lekeh? Semestinya tidak!

Jodoh Sudah Tertulis Di Lauh Mahfudz.
Wujud golongan yang suka berbicara sebagaimana tajuk subtopik yang saya nyatakan di atas ini. Ya, Rasulullah SAW bersabda:
“Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama 40 hari.sebaik sahaja genap 40 hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. manakala genap pula 40 hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. kemudian Allah SWT mengutuskan malaikat supaya meniupkan roh dan memerintahkan menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya smada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. maha suci Allah di mana tiada Tuhan selainNya.” Hadith Riwayat Muslim.
Tetapi rata-rata mengeluarkan kenyataan “Buat apalah susah-susah usaha mencari jodoh. Allah telah tetapkan” memahami hadith ini. Kononnya, itulah dia menjaga syara’. Itulah dia menjaga diri. Tidak. Ini satu kenyataan yang jelas silap.
Allah juga menetapkan kita makanan. Tetapi apakah makanan datang dengan sendiri? Tidak. Kita perlu usaha untuk makan. Suap diri sendiri. Cari kerja. Allah telah tetapkan kita berjaya atau gagal di dalam exam, tetapi kita masih berusaha. Kerana kita berusaha untuk berjaya. Kerana kita TIDAK TAHU apa yang Allah telah tetapkan kepada kita.
Bahkan, jelas ada ‘isyarat’ untuk kita disuruh ‘berusaha’ dalam urusan pencarian pasangan.
Allah SWT berfirman:
Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” Surah Al-Baqarah ayat 221.
Jika benar kita hanya perlu menanti, maka buat apa Allah SWT letakkan larangan ini? Jelas sekali Allah SWT mengarahkan kita ‘memilih’ yang beriman. Bukan semata-mata menanti.
Rasulullah SAW sendiri bersabda:
“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya.  Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat  beragama, nescaya sejahtera hidupmu.”  Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Buat apa dinyatakan ciri-ciri ini, jika bukan kerana disuruh berusaha mencari? Kalaulah benar menunggu, menanti, berdiam diri begitu sahaja boleh membawa kepada jodoh yang baik, mengapa perlu wujud hadith ini?
Justeru, bagaimana di dalam bab Jodoh, kita boleh kata – Tidak mengapa, saya tunggu siapa yang telah dituliskan untuk saya di Lauh Mahfudz sana. SIAPA? Anda tahu siapa? Tidak. Kita tidak akan tahu siapa jodoh kita yang sebenar-benarnya. Yang berkahwin juga bercerai, yang berkahwin juga kemalangan, dan yang hidup perlu meneruskan kehidupannya walau pasangannya mati. Ada yang berkahwin dua, tiga, empat. Ada orang, tak berkahwin langsung. Mati sebelum berkahwin.
Jadi, persoalan jodoh ini luas. Menanti bukan caranya.
Hendak sesuatu yang baik, cari. Cari dengan cara yang baik juga. Sebab itulah saya bangkitkan kefahaman bahawa Keluarga itu membina Ummah. Kerana kita perlu mencari yang baik, yang sesuai dengan kita, untuk bersama-sama dengan kita membina ummah ini. Bukan berdiam diri, tunggu bulan jatuh ke bumi.
Memahami perkara ini, tidaklah kita disibukkan dengan perbincangan remeh seperti – “Apakah kalau saya mimpi si fulan bin si fulan, maksudnya dia jodoh saya?” – TIDAK!
Tetapi kita sepatutnya menyibukkan diri dengan kefahaman Islam, cara hidup Islam, bagaimana hendak menerapkan Islam di dalam kehidupan keluarga dan anak-anak dan sebagainya. Berapa ramai yang membeli Buku Perihal Jodoh, berbanding yang membeli Buku Tarbiyatul Awlad karangan Dr Nasih Ulwan? Pernahkah kita menyelak Buku Baitun Nubuwwah?

Kahwin Awal
Dan kerana disibukkan cinta sebegini, menyebabkan kita juga disibukkan isu berkahwin awal. Ya, kahwin awal tidak pernah salah. Tetapi saya ingin bangkitkan perihal – bagaimana boleh kita kahwin awal?
Sekiranya kita tidak disibukkan perihal cinta, jodoh, hubungan lelaki perempuan, maka pada saya tidak akan timbul isu kahwin awal. Rata-rata ibu bapa, tidak membenarkan anak-anak mereka berkahwin awal bukan kerana kahwin awal itu satu keharaman atau satu dosa. Tetapi kerana mereka mengenali anak-anak mereka bagaimana!
Belum bekerja, belum punya kerjaya, belajar pun tunggang terbalik, mahu kahwin anak orang?
“Lebih baiklah daripada berzina.”
Alasan apakah ini? Apakah yang kita lakukan, sampai keluar alasan sedemikian rupa? Apakah Islam ini isunya hubungan lelaki perempuan sahaja? Tidakkah kita ada 1001 perkara lain yang lebih besar daripada isu hubungan lelaki dan perempuan untuk kita sibukkan? Justeru, bagaimana kita boleh terperangkap di dalam isu ini, dan kemudian mengeluarkan alasan sedemikian rupa? Islam ajarkah?
Tiada masalah jika bijak menguruskan hidup. Tiada masalah jika punya pendapatan. Tiada masalah jika punya matlamat yang jelas dalam melangsungkan perkahwinan. Tetapi apakah wujud pada diri kita? Atau kita kahwin awal hanya kerana teruja dengan rakan-rakan lain yang berkahwin awal juga?
Kadangkala, dengan mudah kita berbicara: “Tak mengapa, Ummi Abah saya sanggup tanggung semua.” Kematangan apakah ini?
Matlamat kita adalah membina ummah, atau matlamat kita adalah perkahwinan?

Akhirnya, Isu Yang Lebih Besar Terkubur.
Akhirnya disibukkan cinta sebegini, membuatkan kita jadi lembik. Perbincangan hanya seputar jodoh dan cinta. Tetapi pembinaan Ummah ditinggalkan. Peribadi Muslim yang baik dilupakan. Fikrinya hanya kahwin, kahwin, kahwin.
Ketika kahwinlah segala dalil ditabur keluar.
Ketika mahu menjustifikasikan cintalah, segala nas-nas diangkat tinggi.
Sedang dalam sisi-sisi pengurusan hidup yang lain, tidak pula mahu kita sentuh dengan nilaian Islam. Istikharah kita hanya istikharah jodoh dan cinta, tetapi pernahkah kita beristikharah untuk urusan yang lain juga? Suami yang baik adalah sekian-sekian, isteri yang solehah adalah sekian-sekian, tetapi pernahkah kita bincangkan bagaimana ciri pejuang Islam yang sebenar dan bagaimanakah kita mahu membina ummah?
Pendidikan anak-anak, pendidikan pasangan, tidak pula kita sentuh. Yang itu semua kita kata – “Lepas kahwin nanti pandailah.” Bagaimana ummah mahu terbina dengan baik sekiranya mentaliti kita sedemikian gayanya?
Ini menyebabkan akal dan minda kita terpenjara, dan akhirnya cycle ini membawa kita menjadi lembik dan lemah.
Itu belum kita kira dengan jalan yang salah dalam urusan jodoh& cinta ini. Jalan yang salah, hasil dari pencernaan minda yang silap. Kefahaman yang tidak jelas. Maka perlulah kita menyelesaikan perihal cinta&jodoh ini.
Jangan sesekali kita sibukkan diri kita dengannya.
Ini hanya ‘sub’ daripada kehidupan kita.
Bukan matlamat kehidupan kita.

Penutup: Bersederhanalah. Lihat perkara yang lebih besar.
Justeru bersederhanalah. Jangan terlalu teruja. Lihatlah perkara yang lebih besar. Lihatlah apa yang sebenarnya mahu kita bina. Lihatlah cinta ini hakikatnya hendak membawa kepada mana.
Kita tidak mahu keluarga kita sekadar robot-robot sistem.
Kita mahu keluarga kita adalah yaang memberikan sumbangan kepada keruntuhan sistem jahiliyyah, dan pembinaan daulah Islamiyyah.
Maka apakah pantas kita tidak bersedia bersungguh-sungguh di dalam hal ini? Maka apakah pantas diri kita yang lembik, tidak punya wawasan, tidak punya kematangan, menjadi nakhoda kepada sebuah keluarga yang menjadi batu-bata kepada ummah?
Pandanglah Cinta&Jodoh ini dengan pandangan yang benar dan teliti. Bukankah ini hanya ‘sebahagian’ daripada kehidupan kita? Mengapa perlu kita jadikannya seakan-akan matlamat?
Tidakkah kadangkala kita menilai ‘panasnya’ darah muda kita, membuatkan kita mudah teruja dengan perkara-perkara sebegini? Sedang kalau kita pandang dari skop yang lebih luas, ini semua sebenarnya sampingan semata-mata. Mengapa mesti tergesa-gesa? Mengapa mesti sambil lewa?
Sumber : Langit Ilahi
Read More