Key of success. |
Assalamu'alaikum semua para pembaca blog saya yang tersayang, rindu sangat dengan semua. Sudah lama sangat kita tidak beriteraksi dek kerana kesibukkan saya sekarang sebagai pelajar ijazah sarjana muda tahun pertama. Baru-baru ini saya ada membaca website Langit Ilahi dan ada beberapa entry yang memberi manfaat kepada kita semua. Siapa yang tidak mahu kejayaan? Mestilah semua inginkan kejayaan tidak kira di dunia mahupun di akhirat kelak. Di sini saya kepilkan beberapa tips untuk mencapai kejayaan menurut Imam Juwaini yang juga digelar Imam al-Haramain
- Harus punyai akal yang bergeliga. Apa maknanya? Akal kita harus disinari dan disuluhi dengan ilmu-ilmu yang benar, sahih dan betul. Namun, ia tidak cukup sekadar itu – hati juga harus dicahayakan dengan amalan soleh agar akan terus menerus bersih, jernih dan putih. Akal dan hati – ia punyai hubungan “istimewa” antara keduanya.
- Memiliki sifat bersungguh-sungguh yang luar biasa. Buang jauh-jauh sifat malas, culas dan sambil lewa. Asas kepada bersungguh-sungguh ini ialah tekun, cekal dan gagah. Tanpa usaha segigih ini, janganlah kita mengharapkan apa-apa keajaiban dalam kehidupan kita yang singkat ini.
- Merasai diri kita ini serba kekurangan dan kekerdilan. Kita akui kita ini kerdil, kecil dan tiada apa-apa. Kita tahu batasan kelemahan kita dan bermula dari situ kita melonjak naik dengan perasaan sentiasa “sedar diri.” Tidak ego, bongkak dan sombong. Rendah diri adalah rahsia insan-insan yang hebat zaman berzaman.
- Banyak bermusafir dan mengembara di perantauan. – Maknanya, belajar jauh-jauh daripada kampong halaman. Kerana apa? Kita akan dapat dua perkara serentak iaitu ilmu dan juga semangat berdikari.
- Harus dipandu oleh mentor, ustaz atau mursyid. Untuk cemerlang, kita wajib mempunyai guru yang membimbing, membetulkan dan menyantuni kita. Asas ini penting dalam usaha-usaha menuntut ilmu. Perlu ada guru dan anak murid. Jika tidak, syaitanlah yang menjadi tok guru kita. Awas dalam bab ini.
- Dan, akhirnya tempoh masa yang panjang. Untuk berjaya, menjadi pakar dan mahir dalam sesuatu perkara ia memakan masa yang lama. Justeru itu, memperuntukan masa untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi adalah modal utama untuk menjadi seorang yang berjaya di masa hadapan.
Sekian sahaja, saya berharap tip-tip ini mampu memberi semangat kepada anda semua, tambah-tambah kepada individu yang bergelar pelajar. Perkara yang paling penting ialah usaha.Jangan lupa untuk mengikuti entry-entry saya yang lain dan saya bukan hanya bersembang semata-mata tetapi sembang yang memeri faedah serta manfaat yang cukup untuk anda semua. Assalamu'alaikum.
Sumber : Langit Ilahi
0 comments:
Post a Comment