Showing posts with label Info. Show all posts
Showing posts with label Info. Show all posts

Monday, April 8, 2013

Mitos Si Kaya dan Si Miskin Karya Anas Alam Faizli Bahagian 1.

| |
0 comments


“ Mereka miskin kerana mereka pemalas”
“Ayah dia Tan Sri”
“Dia kenal orang dalam”
“Aku boleh berdiri seperti sekarang kerana usaha kuat aku selama ini”
Luahan-luahan ini biasa didengari dalam ‘borak kedai kopi’, setiap kali topik kaya dan miskin dibincangkan. Ramai pantas menyamakan isu jurang pendapatan yang tidak sama rata sebagai isu kebajikan atau sosialis. Ini berlaku di mana-mana, sedihnya termasuklah golongan ‘kelas menengah’ Malaysia, yang tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya penerima pendapatan dan pemilik kekayaan dalam kelompok teratas. Isi rumah yang memperolehi RM 10,000 ke atas sebulan sudah pun cukup meletakkan mereka dalam golongan 4% paling elit di Malaysia. Hakikatnya, ketika suara-suara kepartian terus menerus membincangkan wacana ketidaksamarataan bernada perkauman, Malaysia tanpa disedari telah bergerak ke dalam kancah peperangan baru, yang berkaitan dengan ketidaksamarataan di antara orang-orang sekaum, iaitu perang perbedaan kelas dan tingkat pendapatan.
Sering dihujahkan bahawa orang miskin dan berpendapatan rendah wujud disebabkan mereka malas, tidak bekerja keras dan sering mengharapkan bantuan. Ini tidak benar. Ramai yang tidak bernasib baik, dilahirkan dalam keluarga yang kurang pendidikan dan kurang kemahiran untuk melepaskan diri daripada cengkaman kemiskinan. Ada yang dilahirkan dengan kecacatan ataupun penyakit kekal, manakala ada yang hidup di kawasan yang sering ditimpa musibah dan merbahaya.
Di satu wajah kehidupan lain pula, kita melihat ahli-ahli perniagaan tidak berkompetensi yang dianak angkatkan oleh “ayahanda-ayahanda” politik, pewaris-pewaris kekayaan dan estet keluarga, serta individu yang bernasib baik ditempatkan dalam industri mewah dengan pulangan lumayan. Kemalasan di sini tidak lagi menjadi isu. Orang kaya pun boleh jadi malas!
Ramai yang tidak berhak miskin, seperti mana juga ramai yang tidak layak menjadi kaya. Kes-kes di atas menggambarkan dengan jelas bahawa bukan semua kemiskinan ialah hasil daripada keengganan untuk bekerja keras, dan bukan semua kekayaan disebabkan oleh usaha dan penat lelah. Maka, perjuangan menentang ketidaksamarataan sebenarnya ialah perjuangan untuk menyamaratakan peluang bagi menghasilkan lebih keseimbangan, dan bukannya untuk menghasilkan kesamarataan dengan campurtangan yang merencatkan. Ini bukanlah perjuangan menentang orang kaya, tetapi perjuangan untuk membantu orang miskin.
Ada Apa dengan Ketidaksamarataan?
Ketidaksamarataan itu realiti, tidak kisahlah sejauh mana kita percaya dengan pekali GINI sebagai pengukurnya. Malah, perhatian kepada ketidaksamarataan banyak digerakkan oleh kesan ketidaksamarataan itu sendiri yang sudah menunjukkan taringnya, dan bukannya kebangkitan untuk mengelaknya.
Kita boleh melihat kesan ketidaksamarataan kepada masyarakat; seperti ketidaksamarataan kuasa, kesan kepada kadar peningkatan gaji, kesan kepada pertumbuhan, jenayah dan kualiti kehidupan secara amnya. Selagi mana jurang pendapatan dan ketidaksamarataan kekayaan kekal luas, dan pelaburan institusi awam dalam pendidikan, latihan, kebajikan kanak-kanak dan kemudahan awam terus berkurangan, cukai yang progresif dan tindakan afirmatif dalam bentuk tulen dan mengekalkan cita-cita murninya, wajar diberi ruang dalam pembentukan dasar dan polisi institusi awam. Keperluan golongan kaya dalam masyarakat yang berkongsi tanggungjawab membantu golongan miskin cukup kritikal; sebenarnya demi kepentingan mereka juga, kerana kesan-kesan negatif ketidaksamarataan yang tinggi akan dirasai oleh semua.
Bersambung...
Read More

Friday, March 8, 2013

PRU13: Harapan Baru untuk Rakyat atau Perubahan yang Membawa Padah..?

| |
0 comments

Kini, pada bila-bila masa sahaja PM,Dato' Sri Najib akan mengumumkan pembubaran parlimen dan sekaligus PRU13 akan dilangsungkan.Buat pertama kalinya, kelihatan PM begitu 'takut' untuk membubarkan parlimen sedangkan mandat yang diberikan oleh rakyat secara moralnya tamat pada hari ini 8 Mac setelah genap 5 tahun. Tidak dapat dipastikan mengapa kali ini parlimen begitu lambat dibubarkan..? Mungkin sebab PM masih mencari masa yang terbaik pada ketika sekalian rakyat jelata merasai manisnya gula-gula yang diberikan itu atau mungkin juga PM belum yakin akan kemampuan BN utk kembali ke Putrajaya setelah kuasa yang ada sekarang diserahkan kepada rakyat.

Antara faktor lain yang menarik untuk kita perhatikan pada PRU13 ini ialah kecenderungan rakyat untuk membuat perubahan. Setakat ini, kelihatannya kaum Cina begitu kuat dan bersemangat untuk menukar kerajaan baru, kaum India sebahagian besarnya sudah mula berpatah balik kepada BN manakala kaum Melayu..? Kaum Melayu masih dalam dilema kerana mereka yang di pedalaman mahupun golongan intelektual ada yang termakan dengan momokan ‘jika PR menang, habislah nasib kita orang Melayu, Islam akan diketepikan, Raja akan hilang kuasa’ dan bermacam lagilah igauan mimpi ngeri yang cuba ditanam dalam minda orang Melayu. Maka usahlah dihairankan apabila munculnya Third Force, arus baru yang mengaku mereka tak berpihak kepada mana-mana tetapi hakikatnya mereka adalah penyelamat kepada BN antaranya ialah Jati dan juga Isma.

Di samping itu, PRU13 ini adalah "perang alam siber". Jika PRU 2008 dahulu, ruang vakum internet ini dikuasai sepenuhnya oleh pembangkang melalui blog, Youtube dan portal berita kini, BN telah pun menyedari kealpaan mereka dahulu. Maka medan pertempuran maklumat di alam maya ini sama ada melalui Facebook,Twitter, Youtube dan Blog menjadi persaingan hebat antara PR vs BN. Pelbagai kaedah dan strategi digunakan sehingga kadangkala ia melampaui batas seperti sebaran fitnah dan gambar yang diubah suai sesuka hati mengikut selera kecenderungan parti masing-masing. Begitu hebatnya penangan media baru ini begitu jelas dapat dilihat seperti contoh fenomena "Listen, Listen, Listen", "Ini semua salah Anwar", dan bermacam lagi virus maklumat yang begitu cepat tersebar dengan adanya fungsi button "share" di FB.

Sebagai akhirnya, PRU13 ini adalah cabaran getir buat kedua-belah pihak. BN akan berusaha dengan begitu bersungguh seperti mana amanat Presiden Umno,Dato' Sri Najib pada 2010 iaitu "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!".

PR pula yang dikemudi oleh Anwar seboleh mungkin memacu bersama PKR, PAS dan DAP ke mercu kuasa Putrajaya. PAS dilihat memikul cabaran yang paling getir kerana secara tradisinya akan bertanding di kerusi majoriti Melayu sedangkan kelihatannya setakat ini arus perubahan dalam kalangan kaum Melayu masih belum cukup kuat untuk mendayung bahtera ke Putrajaya.

Impian PR untuk sampai ke Putrajaya hanya akan menjadi realiti sekiranya berlaku perubahan besar di Sabah dan Sarawak, serta kaum Melayu dan India turut sama dengan arus perubahan. Dan sememangnya, faktor pengundi muda khususnya Generasi Y yang sifatnya kritikal dalam menilai juga akan menjadi salah satu faktor utama penentu dalam PRU 13 ini. Pengundi lain juga secara umumnya sudah semakin bijak dalam menilai dan membuat pilihan dengan syaratnya akses media yang adil sampai ke segenap lapisan masyarakat.

SPR pula sebagai pengadil perlawanan perlulah menunjukkan kesungguhan dan komitmen mereka dengan berani, telus dan adil untuk mengendalikan the mother of all election yang dijangka paling sengit dalam sejarah Malaysia ini.

Sebagai Muslim, kita tetap yakin dan percaya bahawa tiada kerajaan yang mampu kekal berkuasa selamanya kerana kuasa itu sebenarnya adalah milik Allah. Pemimpin yang dipilih itu perlu melaksanakan amanah dengan panduan dan suluhan wahyu Al-Quran dan As Sunnah. Segala perancangan dan tipu daya yang dibuat manusia yang angkuh untuk kekal di puncak kuasa takkan mampu untuk melawan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Berkuasa.

Selamat mengundi. Laksanakanlah hak anda untuk memilih pemimpin dengan pertimbangan akal dan iman demi masa depan baru tanah air Malaysia kita yang tercinta ini.
Read More

Thursday, August 2, 2012

Beberapa Salah Faham Kita Tentang Puasa

| |
0 comments

Assalamualaikum, rasa masih belum terlambat bagi saya untuk mengucapkan selamat menyambut bulan yang mulia ini iaitu Ramadhan. Bagaimana perkembangan amal ibadah kita setakat ini?yang itu kita renung-renungkan sendiri. Hari ini ingin berkongsi tentang salah faham kita dalam masyarakat Islam di Malaysia tentang PUASA.Ada yang menganggap perbuatan ini membatalkan puasa lar dan ada yang tidak. Selain itu, ada pula yang suka menokok-tambah hukum-hukum dalam berpuasa. Oleh itu,saya kongsikan sedikit perkara-perkara yang sering kita salah faham. Isi-isi ini telah saya rujuk dalam kolum Dr Asri.

Mandi Semasa Puasa

Antaranya, anggapan bahawa mandi ataupun basuh kepala apabila terlalu keletihan mengurangkan pahala puasa. Ada pula yang bertegas semasa puasa mandi selepas asar makruh. Ini tidak disokong oleh riwayat yang menunjukkan Nabi s.a.w mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika berpuasa kerana terlalu panas ataupun dahaga. Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Memasukkan Sesuatu ke dalam Rongga

Antara anggapan lain ialah menyatakan semasa puasa tidak boleh memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan mulut, sekalipun bukan makanan dan minuman. Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah. Ada yang melarang bercelak kerana bimbang masuk ke dalam rongga. Pegangan ini asalkan berasas riwayat kenyataan Ibn ‘Abbas: “Membatalkan puasa itu apa yang masuk, bukan apa yang keluar” (riwayat Ibn Abi Syaibah, sahih). Namun, itu merupakan ulasan Ibnu ‘Abbas kepada mereka yang berbekam bagi menunjukkan ia tidak membatalkan puasa. ‘Apa yang masuk’ bermaksud makanan ataupun minuman ataupun yang mempunyai fungsi yang sama seperti makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad. Jika sekadar alatan tentu maka ia tidak termasuk dalam maksud ini. Jika tidak mereka yang memasukkan berus gigi ataupun kayu sugi ke dalam mulut, ataupun berkumur semasa puasa tentu dianggap batal.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam Majmu al-Fatwa, setelah menyebut tentang khilaf ulama, beliau menjelaskan puasa merupakan amalan setiap muslim. Jika perbuatan seperti bercelak yang memang diamalkan secara meluas semasa zaman Nabi itu membatalkan puasa, tentu baginda s.a.w akan menerangkannya. Juga tentu para sahabah akan bertanya mengenainya. Namun, apabila tiada hadis sahih tentang hal itu, maka menunjukkan memakai celak tidak membatalkan puasa. Demikian juga tentang mencium wangian, menyapu minyak di badan dan seumpamanya.

Maka menggunakan eye drops yang sedikit dan tidak menyebabkan ia mengalir ke kerongkong dan seterusnya adalah dibolehkan. Demikian juga memakai minyak rambut dan minyak urut sekalipun sifat minyak itu mudah meresap ke dalam kulit.

Tidak Mandi Junub

Antara lain ialah menganggap tidak sah puasa mereka yang belum mandi junub sedangkan waktu subuh sudah masuk. Ini berkaitan seseorang yang bersetubuh dengan isterinya, ataupun keluar air mani tetapi belum mandi junub sehingga masuk waktu subuh iaitu waktu berpuasa. Ertinya ketika dia mandi wajib, waktu subuh telah masuk. Ada yang menganggap puasa itu tidak sah. Padahal dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah bahawa Nabi s.a.w pada waktu pagi (subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan baginda berpuasa. Baginda berpuasa dan tidak berbuka (disebabkan hal itu)” (Riwayat al-Bukhari).

Muntah

Antara lain ada yang menganggap sesiapa yang termuntah maka batal puasa. Sebenarnya, di sana ada perbezaan antara termuntah dan sengaja muntah. Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang termuntah tidak wajib qada (ganti puasa). Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah dia qada”. (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Jarud dan Ibn Hibban). Maka sesiapa yang termuntah kerana tidak tahan dengan sesuatu bau ataupun mabuk perjalanan tidak wajib qada kerana puasanya sah. Sesiapa yang memaksa diri untuk muntah maka dia wajib menggantikan puasanya.


Waktu Imsak

Antara lain menganggap sesiapa yang makan ketika hampir subuh iaitu bukan pada waktu imsak yang difahami oleh sesetengah pihak, maka puasanya tidak sah. Ini kerana mereka menganggap puasa bermula beberapa puluh ataupun belasan minit sebelum subuh. Padahal waktu puasa bermula apabila masuknya waktu subuh. Firman Allah: (maksudnya) “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187). Sabda Nabi s.a.w pula: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Musafir

Antara anggapan lain bahawa seseorang yang bermusafir jika berkemampuan wajib berpuasa, jika tidak dia berdosa. Ini berlainan dengan ayat Allah dalam al-Quran: (maksudnya) “..dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti) pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).

Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah! Aku dapati aku mempunyai kemampuan untuk berpuasa ketika musafir, adakah itu satu kesalahan ke atasku? Jawab Nabi s.a.w: “Ia adalah rukhsah (kelonggaran) daripada Allah, sesiapa yang mengambilnya (tidak berpuasa ketia musafir) maka sesuatu yang baik, sesiapa yang suka untuk berpuasa maka tiada salah baginya”. (Riwayat Muslim).

Tidak Sengaja

Perbuatan yang tidak sengaja, dipaksa ataupun terlupa seperti makan dan minum tidak membatalkan puasa. Sekalipun seseorang itu telah makan dan minum dengan banyak sekali. Sabda Nabi s.a.w: “Sesiapa yang lupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, maka sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberikan dia makan dan minum” (Riwayat al-Bukhari).

Demikianlah semua perbuatan yang tidak sengaja ataupun terlupa. Termasuk terkeluar air mani disebabkan mimpi atau terfikir secara yang tidak diusahakan. Jumhur ulama menyatakan tidak batal puasa. Di samping di sana wujudnya pendapat minority ulama Ibn Hazm, al-San’ani, as-Syaukani dll yang berpendapat keluar mani walaupun dengan sengaja ia tidak membatalkan puasa sebab tiada dalil mengenai hal itu. Adapun majoriti ulama berpendapat batal.

Apapun, sesuatu perbuatan yang tidak disengajakan tidak membatalkan puasa. Termasuklah tertelan air semasa mandi ataupun hujan ataupun suri rumah yang terbiasa merasa makanan ketika masak lalu memakannya kerana lupa, kesemua itu tidak membatalkan puasa.

Di sana ada lagi beberapa anggapan yang perlukan penelitian sebelum diterima sebagai suatu keputusan agama.
Read More

Friday, July 6, 2012

Multi-Level Marketing Tidak Patuhi Syariat Islam

| |
6 comments
Assalamualaikum para pembaca blog SKD yang dihomati sekalian, kita bertemu kembali di alam maya ini(*buat teruk) dan pada hari ini saya sekadar berkongsi cerita berdasarkan keratan akhbar yang saya dapat daripada KOSMO.Pernahkah kita mendengar MLM, singkatan daripada Multi-Level Marketing?Sesiapa yang tidak pernah mendengar tentang MLM ini, rajin-rajinlah cari maklumat tersebut daripada kawan-kawan atau internet dan pastikan maklumat yang kita dapat itu adalah sahih.
Mari kita baca dari keratan akhbar ini:

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar daripada kesemua 1,411 buah syarikat sistem pemasaran berbilang tingkat (MLM) yang berdaftar di negara ini tidak menepati syariat Islam.
Kebanyakannya didapati melakukan pelbagai penyelewengan dan penipuan kepada ahli-ahlinya berdasarkan hasil penemuan Jawatankuasa Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Antara penyelewengan yang dikenal pasti ialah mengamalkan skim piramid, mengandungi unsur penindasan, manipulasi dan eksploitasi dalam pelan pemasaran.
Selain itu, pelan pemberian insentif yang mengelirukan, mengandungi unsur-unsur paksaan, pembaziran, menjanjikan keuntungan tetap tanpa usaha, mengandungi unsur syubahah atau perkara yang tidak jelas dalam sistem yang diamalkan.

Seorang daripada ahli panel jawatankuasa tersebut yang juga merupakan Pensyarah Kuliyyah Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, kebanyakan daripada operasi syarikat MLM yang terdapat di negara ini berada dalam keadaan yang meragukan.

“Kita mendapati daripada banyak sudut seperti kontrak, pelan, pemberian bonus, komisen, cara pemasaran dan melanggar adab-adab serta etika perniagaan.
“Walaupun masalah ini tidak dilakukan oleh semua syarikat MLM tetapi syarikat terbabit seharusnya bertanggungjawab untuk memastikan mereka melakukan perniagaan dengan beretika,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Justeru, katanya, pada Jun baru-baru ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 telah bersetuju untuk memperakukan garis panduan baharu tersebut.

Sumber: Kosmo!
Selepas anda semua baca keratan akhbar ini apa pendapat kalian?Saya sendiri pernah terlibat dalam MLM ini dan saya tahu apa berlaku sebenarnya serta saya sendiri juga telah membuat beberapa kajian tentang MLM ini dengan bertemu beberapa 'lecturer' saya yang pakar tentang bisnes di universiti saya dan semua ini terbukti bahawa MLM ini kebanyakannya menindas ahlinya secara tersembunyi. Terserahlah kepada sesiapa yang ingin menerima perkara ini atau tidak tetapi yang pasti 'rezeki yang datang adalah daripada Allah dengan diiringi oleh usaha kita yang tidak pernah putus asa'.

Ingin ceritakan pengalaman anda tentang MLM ini, bolehlah tinggalkan komen-komen yang 'membangun' serta tanpa emosi. Kerjasama daripada anda semua memberi kebaikan kepada kita semua yang bergelar Muslim dan Muslimah. Assalamualaikum.

Read More