Monday, April 8, 2013

Mitos Si Kaya dan Si Miskin Karya Anas Alam Faizli Bahagian 1.

| |


“ Mereka miskin kerana mereka pemalas”
“Ayah dia Tan Sri”
“Dia kenal orang dalam”
“Aku boleh berdiri seperti sekarang kerana usaha kuat aku selama ini”
Luahan-luahan ini biasa didengari dalam ‘borak kedai kopi’, setiap kali topik kaya dan miskin dibincangkan. Ramai pantas menyamakan isu jurang pendapatan yang tidak sama rata sebagai isu kebajikan atau sosialis. Ini berlaku di mana-mana, sedihnya termasuklah golongan ‘kelas menengah’ Malaysia, yang tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya penerima pendapatan dan pemilik kekayaan dalam kelompok teratas. Isi rumah yang memperolehi RM 10,000 ke atas sebulan sudah pun cukup meletakkan mereka dalam golongan 4% paling elit di Malaysia. Hakikatnya, ketika suara-suara kepartian terus menerus membincangkan wacana ketidaksamarataan bernada perkauman, Malaysia tanpa disedari telah bergerak ke dalam kancah peperangan baru, yang berkaitan dengan ketidaksamarataan di antara orang-orang sekaum, iaitu perang perbedaan kelas dan tingkat pendapatan.
Sering dihujahkan bahawa orang miskin dan berpendapatan rendah wujud disebabkan mereka malas, tidak bekerja keras dan sering mengharapkan bantuan. Ini tidak benar. Ramai yang tidak bernasib baik, dilahirkan dalam keluarga yang kurang pendidikan dan kurang kemahiran untuk melepaskan diri daripada cengkaman kemiskinan. Ada yang dilahirkan dengan kecacatan ataupun penyakit kekal, manakala ada yang hidup di kawasan yang sering ditimpa musibah dan merbahaya.
Di satu wajah kehidupan lain pula, kita melihat ahli-ahli perniagaan tidak berkompetensi yang dianak angkatkan oleh “ayahanda-ayahanda” politik, pewaris-pewaris kekayaan dan estet keluarga, serta individu yang bernasib baik ditempatkan dalam industri mewah dengan pulangan lumayan. Kemalasan di sini tidak lagi menjadi isu. Orang kaya pun boleh jadi malas!
Ramai yang tidak berhak miskin, seperti mana juga ramai yang tidak layak menjadi kaya. Kes-kes di atas menggambarkan dengan jelas bahawa bukan semua kemiskinan ialah hasil daripada keengganan untuk bekerja keras, dan bukan semua kekayaan disebabkan oleh usaha dan penat lelah. Maka, perjuangan menentang ketidaksamarataan sebenarnya ialah perjuangan untuk menyamaratakan peluang bagi menghasilkan lebih keseimbangan, dan bukannya untuk menghasilkan kesamarataan dengan campurtangan yang merencatkan. Ini bukanlah perjuangan menentang orang kaya, tetapi perjuangan untuk membantu orang miskin.
Ada Apa dengan Ketidaksamarataan?
Ketidaksamarataan itu realiti, tidak kisahlah sejauh mana kita percaya dengan pekali GINI sebagai pengukurnya. Malah, perhatian kepada ketidaksamarataan banyak digerakkan oleh kesan ketidaksamarataan itu sendiri yang sudah menunjukkan taringnya, dan bukannya kebangkitan untuk mengelaknya.
Kita boleh melihat kesan ketidaksamarataan kepada masyarakat; seperti ketidaksamarataan kuasa, kesan kepada kadar peningkatan gaji, kesan kepada pertumbuhan, jenayah dan kualiti kehidupan secara amnya. Selagi mana jurang pendapatan dan ketidaksamarataan kekayaan kekal luas, dan pelaburan institusi awam dalam pendidikan, latihan, kebajikan kanak-kanak dan kemudahan awam terus berkurangan, cukai yang progresif dan tindakan afirmatif dalam bentuk tulen dan mengekalkan cita-cita murninya, wajar diberi ruang dalam pembentukan dasar dan polisi institusi awam. Keperluan golongan kaya dalam masyarakat yang berkongsi tanggungjawab membantu golongan miskin cukup kritikal; sebenarnya demi kepentingan mereka juga, kerana kesan-kesan negatif ketidaksamarataan yang tinggi akan dirasai oleh semua.
Bersambung...

0 comments:

Post a Comment