Monday, April 8, 2013

Mitos Si Kaya dan Si Miskin Karya Anas Alam Faizli Bahagian 1.

| |
0 comments


“ Mereka miskin kerana mereka pemalas”
“Ayah dia Tan Sri”
“Dia kenal orang dalam”
“Aku boleh berdiri seperti sekarang kerana usaha kuat aku selama ini”
Luahan-luahan ini biasa didengari dalam ‘borak kedai kopi’, setiap kali topik kaya dan miskin dibincangkan. Ramai pantas menyamakan isu jurang pendapatan yang tidak sama rata sebagai isu kebajikan atau sosialis. Ini berlaku di mana-mana, sedihnya termasuklah golongan ‘kelas menengah’ Malaysia, yang tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya penerima pendapatan dan pemilik kekayaan dalam kelompok teratas. Isi rumah yang memperolehi RM 10,000 ke atas sebulan sudah pun cukup meletakkan mereka dalam golongan 4% paling elit di Malaysia. Hakikatnya, ketika suara-suara kepartian terus menerus membincangkan wacana ketidaksamarataan bernada perkauman, Malaysia tanpa disedari telah bergerak ke dalam kancah peperangan baru, yang berkaitan dengan ketidaksamarataan di antara orang-orang sekaum, iaitu perang perbedaan kelas dan tingkat pendapatan.
Sering dihujahkan bahawa orang miskin dan berpendapatan rendah wujud disebabkan mereka malas, tidak bekerja keras dan sering mengharapkan bantuan. Ini tidak benar. Ramai yang tidak bernasib baik, dilahirkan dalam keluarga yang kurang pendidikan dan kurang kemahiran untuk melepaskan diri daripada cengkaman kemiskinan. Ada yang dilahirkan dengan kecacatan ataupun penyakit kekal, manakala ada yang hidup di kawasan yang sering ditimpa musibah dan merbahaya.
Di satu wajah kehidupan lain pula, kita melihat ahli-ahli perniagaan tidak berkompetensi yang dianak angkatkan oleh “ayahanda-ayahanda” politik, pewaris-pewaris kekayaan dan estet keluarga, serta individu yang bernasib baik ditempatkan dalam industri mewah dengan pulangan lumayan. Kemalasan di sini tidak lagi menjadi isu. Orang kaya pun boleh jadi malas!
Ramai yang tidak berhak miskin, seperti mana juga ramai yang tidak layak menjadi kaya. Kes-kes di atas menggambarkan dengan jelas bahawa bukan semua kemiskinan ialah hasil daripada keengganan untuk bekerja keras, dan bukan semua kekayaan disebabkan oleh usaha dan penat lelah. Maka, perjuangan menentang ketidaksamarataan sebenarnya ialah perjuangan untuk menyamaratakan peluang bagi menghasilkan lebih keseimbangan, dan bukannya untuk menghasilkan kesamarataan dengan campurtangan yang merencatkan. Ini bukanlah perjuangan menentang orang kaya, tetapi perjuangan untuk membantu orang miskin.
Ada Apa dengan Ketidaksamarataan?
Ketidaksamarataan itu realiti, tidak kisahlah sejauh mana kita percaya dengan pekali GINI sebagai pengukurnya. Malah, perhatian kepada ketidaksamarataan banyak digerakkan oleh kesan ketidaksamarataan itu sendiri yang sudah menunjukkan taringnya, dan bukannya kebangkitan untuk mengelaknya.
Kita boleh melihat kesan ketidaksamarataan kepada masyarakat; seperti ketidaksamarataan kuasa, kesan kepada kadar peningkatan gaji, kesan kepada pertumbuhan, jenayah dan kualiti kehidupan secara amnya. Selagi mana jurang pendapatan dan ketidaksamarataan kekayaan kekal luas, dan pelaburan institusi awam dalam pendidikan, latihan, kebajikan kanak-kanak dan kemudahan awam terus berkurangan, cukai yang progresif dan tindakan afirmatif dalam bentuk tulen dan mengekalkan cita-cita murninya, wajar diberi ruang dalam pembentukan dasar dan polisi institusi awam. Keperluan golongan kaya dalam masyarakat yang berkongsi tanggungjawab membantu golongan miskin cukup kritikal; sebenarnya demi kepentingan mereka juga, kerana kesan-kesan negatif ketidaksamarataan yang tinggi akan dirasai oleh semua.
Bersambung...
Read More

Friday, March 8, 2013

PRU13: Harapan Baru untuk Rakyat atau Perubahan yang Membawa Padah..?

| |
0 comments

Kini, pada bila-bila masa sahaja PM,Dato' Sri Najib akan mengumumkan pembubaran parlimen dan sekaligus PRU13 akan dilangsungkan.Buat pertama kalinya, kelihatan PM begitu 'takut' untuk membubarkan parlimen sedangkan mandat yang diberikan oleh rakyat secara moralnya tamat pada hari ini 8 Mac setelah genap 5 tahun. Tidak dapat dipastikan mengapa kali ini parlimen begitu lambat dibubarkan..? Mungkin sebab PM masih mencari masa yang terbaik pada ketika sekalian rakyat jelata merasai manisnya gula-gula yang diberikan itu atau mungkin juga PM belum yakin akan kemampuan BN utk kembali ke Putrajaya setelah kuasa yang ada sekarang diserahkan kepada rakyat.

Antara faktor lain yang menarik untuk kita perhatikan pada PRU13 ini ialah kecenderungan rakyat untuk membuat perubahan. Setakat ini, kelihatannya kaum Cina begitu kuat dan bersemangat untuk menukar kerajaan baru, kaum India sebahagian besarnya sudah mula berpatah balik kepada BN manakala kaum Melayu..? Kaum Melayu masih dalam dilema kerana mereka yang di pedalaman mahupun golongan intelektual ada yang termakan dengan momokan ‘jika PR menang, habislah nasib kita orang Melayu, Islam akan diketepikan, Raja akan hilang kuasa’ dan bermacam lagilah igauan mimpi ngeri yang cuba ditanam dalam minda orang Melayu. Maka usahlah dihairankan apabila munculnya Third Force, arus baru yang mengaku mereka tak berpihak kepada mana-mana tetapi hakikatnya mereka adalah penyelamat kepada BN antaranya ialah Jati dan juga Isma.

Di samping itu, PRU13 ini adalah "perang alam siber". Jika PRU 2008 dahulu, ruang vakum internet ini dikuasai sepenuhnya oleh pembangkang melalui blog, Youtube dan portal berita kini, BN telah pun menyedari kealpaan mereka dahulu. Maka medan pertempuran maklumat di alam maya ini sama ada melalui Facebook,Twitter, Youtube dan Blog menjadi persaingan hebat antara PR vs BN. Pelbagai kaedah dan strategi digunakan sehingga kadangkala ia melampaui batas seperti sebaran fitnah dan gambar yang diubah suai sesuka hati mengikut selera kecenderungan parti masing-masing. Begitu hebatnya penangan media baru ini begitu jelas dapat dilihat seperti contoh fenomena "Listen, Listen, Listen", "Ini semua salah Anwar", dan bermacam lagi virus maklumat yang begitu cepat tersebar dengan adanya fungsi button "share" di FB.

Sebagai akhirnya, PRU13 ini adalah cabaran getir buat kedua-belah pihak. BN akan berusaha dengan begitu bersungguh seperti mana amanat Presiden Umno,Dato' Sri Najib pada 2010 iaitu "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!".

PR pula yang dikemudi oleh Anwar seboleh mungkin memacu bersama PKR, PAS dan DAP ke mercu kuasa Putrajaya. PAS dilihat memikul cabaran yang paling getir kerana secara tradisinya akan bertanding di kerusi majoriti Melayu sedangkan kelihatannya setakat ini arus perubahan dalam kalangan kaum Melayu masih belum cukup kuat untuk mendayung bahtera ke Putrajaya.

Impian PR untuk sampai ke Putrajaya hanya akan menjadi realiti sekiranya berlaku perubahan besar di Sabah dan Sarawak, serta kaum Melayu dan India turut sama dengan arus perubahan. Dan sememangnya, faktor pengundi muda khususnya Generasi Y yang sifatnya kritikal dalam menilai juga akan menjadi salah satu faktor utama penentu dalam PRU 13 ini. Pengundi lain juga secara umumnya sudah semakin bijak dalam menilai dan membuat pilihan dengan syaratnya akses media yang adil sampai ke segenap lapisan masyarakat.

SPR pula sebagai pengadil perlawanan perlulah menunjukkan kesungguhan dan komitmen mereka dengan berani, telus dan adil untuk mengendalikan the mother of all election yang dijangka paling sengit dalam sejarah Malaysia ini.

Sebagai Muslim, kita tetap yakin dan percaya bahawa tiada kerajaan yang mampu kekal berkuasa selamanya kerana kuasa itu sebenarnya adalah milik Allah. Pemimpin yang dipilih itu perlu melaksanakan amanah dengan panduan dan suluhan wahyu Al-Quran dan As Sunnah. Segala perancangan dan tipu daya yang dibuat manusia yang angkuh untuk kekal di puncak kuasa takkan mampu untuk melawan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Berkuasa.

Selamat mengundi. Laksanakanlah hak anda untuk memilih pemimpin dengan pertimbangan akal dan iman demi masa depan baru tanah air Malaysia kita yang tercinta ini.
Read More

Sunday, August 12, 2012

Iklan Raya(A Love Story) TM 2012 yang Menarik

| |
0 comments
Assalamualaikum, macam mana berpuasa? ada yang tidak sabar nak menyambut Hari Raya sampai sudah siap beli raya. Dah  nak dekat raya ni kan, saya ada menonton iklan raya TM yang menarik. 
Mari saksikan.
                                                         Dah Sampai

video 

Perasaanku

video
                                                             

Rahsia


video 

Macam mana,best? yang mana pilihan anda semua yang agak terbaik?Mana satu endingnya agak best. Sila komen yer. :)

Read More

Saturday, August 11, 2012

Strategi Memburu Lailatur Qadr

| |
0 comments


Saya kongsikan beberapa tips untuk memburu Lailatul Qadr, antara pakej istimewa yang ditawarkan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang beriman yang benar-benar mengharapkan keampunan daripada Allah SWT di dalam Bulan Ramadhan al-Mubarak :-

(1)    Di 10 malam akhir ini, niat kita hanya satu sahaja. Semuanya adalah untuk memperolehi keredhaan Allah SWT semata-mata. Tiada yang lain. Kejernihan, keputihan dan keikhlasan kita dalam beramal adalah kunci utama kepada penerimaan amal oleh Allah SWT.

(2)    Kita semak dan tentukan siap-siap tempat untuk kita lakukan ibadah. Ramai ulama menasihatkan kita laksanakan fokus ini melalui iktikaf di masjid atau surau berhampiran dengan rumah kita. Tentukan siap-siap lokasi masjid atau surau yang menjadi pilihan kita. Kat rumah tidak boleh ka? Boleh, Cuma bimbang tidak menjadi nanti.^^

(3)    Ajak teman, sahabat atau keluarga untuk sama-sama menjayakan rancangan yang istimewa ini. Jika ada peneman, kita rasa lebih kuat, bersemangat dan terdorong untuk buat bersama. Kebersamaan ini banyak manfaat dan kebaikannya.

(4)    Jika boleh kita susun untuk bermalam di masjid atau surau pada tiap-tiap malam di penghujung 10 malam terakhir Ramadhan. Sekiranya, tidak boleh kita letak keutamaan kepada malam-malam yang ganjil. Tujuannya, agar wujudnya suasana, mode dan persekitaran kondusif untuk “bermanja-manja” dengan Allah SWT

(5)    Strategi dalam beramal tentunya harus diperhalusi dengan bijak. Kepelbagaian bentuk-bentuk amalan kerohanian akan memberikan kesan yang signifikan kepada kita. Tidak akan rasa jemu, bosan dan terbeban. Justeru, qiamullail di malam hari bukan solat semata-mata : kita boleh gandakan amalan dengan amalan seperti istighfar, zikir, membaca Al-Quran dan sebagainya.

(6)    Jika mengantuk, kita ambil wudhuk untuk menyegarkan semula badan kita. Namun, langkah terbaik kita peruntukan masa rehat dan tidur sebentar di waktu siang untuk membolehkan kita segar dan cergas di malam hari.

(7)    Kita bersiap sedia dengan zikir, doa dan hajat khusus yang telah kita rancang daripada awal. Amalkan doa-doa yang mathur ( yang diajarkan oleh Rasulullah SAW) dan hajat-hajat kita yang terbuku dihati. Luahkan, adukan dan  nyatakan dalam setiap bait-bait lantunan munajat kita di setiap tadahan tangan dengan penuh kesungguhan dan pengharapan. Yakin sepenuhnya bahawa Allah SWT akan mengabulkannya.

Waktu-waktu sepertiga malam adalah waktu yang hening lagi penuh barakah. Ia adalah saat-saat titik terdekat kita dengan Allah SWT. Tatkala dahi kita mencecah lantai bumi, tentunya terasa suatu kelainan jika linangan air mata penuh keinsafan membasahi pipi  lalu mengalir perlahan-lahan jatuh ke bawah .  Pastinya, suasana itu akan kita rindu buat selama-lamanya.

Rasailah kehangatan, keindahan dan keasyikan bermunajat, berdoa dan beribadat di sepertiga malam di 10 akhir Ramadhan. Seruan ini begitu menusuk jiwa-jiwa mereka yang hajatkan keampunan, keredhaan dan kerahmatan daripada Allah SWT.
Andaikata inilah Ramadhan yang terakhir buat kita, marilah sama-sama kita jadikan fasa ini sebagai terminal terakhir  untuk kita berikan fokus, tumpuan dan perhatian 100 %. Dengan pecutan jiwa, semangat membara dan tindakan penuh keimanan dan kesungguhan , InsyaAllah – kita akan meraih “sesuatu” daripada Ramadhan 1433 H ini.

Sumber : LangitIlahi
Read More