Kini, pada bila-bila masa sahaja PM,Dato' Sri Najib akan mengumumkan pembubaran parlimen dan sekaligus PRU13 akan dilangsungkan.Buat pertama kalinya, kelihatan PM begitu 'takut' untuk membubarkan parlimen sedangkan mandat yang diberikan oleh rakyat secara moralnya tamat pada hari ini 8 Mac setelah genap 5 tahun. Tidak dapat dipastikan mengapa kali ini parlimen begitu lambat dibubarkan..? Mungkin sebab PM masih mencari masa yang terbaik pada ketika sekalian rakyat jelata merasai manisnya gula-gula yang diberikan itu atau mungkin juga PM belum yakin akan kemampuan BN utk kembali ke Putrajaya setelah kuasa yang ada sekarang diserahkan kepada rakyat.
Antara faktor lain yang menarik untuk kita perhatikan pada PRU13 ini ialah kecenderungan rakyat untuk membuat perubahan. Setakat ini, kelihatannya kaum Cina begitu kuat dan bersemangat untuk menukar kerajaan baru, kaum India sebahagian besarnya sudah mula berpatah balik kepada BN manakala kaum Melayu..? Kaum Melayu masih dalam dilema kerana mereka yang di pedalaman mahupun golongan intelektual ada yang termakan dengan momokan ‘jika PR menang, habislah nasib kita orang Melayu, Islam akan diketepikan, Raja akan hilang kuasa’ dan bermacam lagilah igauan mimpi ngeri yang cuba ditanam dalam minda orang Melayu. Maka usahlah dihairankan apabila munculnya Third Force, arus baru yang mengaku mereka tak berpihak kepada mana-mana tetapi hakikatnya mereka adalah penyelamat kepada BN antaranya ialah Jati dan juga Isma.
Di samping itu, PRU13 ini adalah "perang alam siber". Jika PRU 2008 dahulu, ruang vakum internet ini dikuasai sepenuhnya oleh pembangkang melalui blog, Youtube dan portal berita kini, BN telah pun menyedari kealpaan mereka dahulu. Maka medan pertempuran maklumat di alam maya ini sama ada melalui Facebook,Twitter, Youtube dan Blog menjadi persaingan hebat antara PR vs BN. Pelbagai kaedah dan strategi digunakan sehingga kadangkala ia melampaui batas seperti sebaran fitnah dan gambar yang diubah suai sesuka hati mengikut selera kecenderungan parti masing-masing. Begitu hebatnya penangan media baru ini begitu jelas dapat dilihat seperti contoh fenomena "Listen, Listen, Listen", "Ini semua salah Anwar", dan bermacam lagi virus maklumat yang begitu cepat tersebar dengan adanya fungsi button "share" di FB.
Sebagai akhirnya, PRU13 ini adalah cabaran getir buat kedua-belah pihak. BN akan berusaha dengan begitu bersungguh seperti mana amanat Presiden Umno,Dato' Sri Najib pada 2010 iaitu "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!".
PR pula yang dikemudi oleh Anwar seboleh mungkin memacu bersama PKR, PAS dan DAP ke mercu kuasa Putrajaya. PAS dilihat memikul cabaran yang paling getir kerana secara tradisinya akan bertanding di kerusi majoriti Melayu sedangkan kelihatannya setakat ini arus perubahan dalam kalangan kaum Melayu masih belum cukup kuat untuk mendayung bahtera ke Putrajaya.
Impian PR untuk sampai ke Putrajaya hanya akan menjadi realiti sekiranya berlaku perubahan besar di Sabah dan Sarawak, serta kaum Melayu dan India turut sama dengan arus perubahan. Dan sememangnya, faktor pengundi muda khususnya Generasi Y yang sifatnya kritikal dalam menilai juga akan menjadi salah satu faktor utama penentu dalam PRU 13 ini. Pengundi lain juga secara umumnya sudah semakin bijak dalam menilai dan membuat pilihan dengan syaratnya akses media yang adil sampai ke segenap lapisan masyarakat.
SPR pula sebagai pengadil perlawanan perlulah menunjukkan kesungguhan dan komitmen mereka dengan berani, telus dan adil untuk mengendalikan the mother of all election yang dijangka paling sengit dalam sejarah Malaysia ini.
Sebagai Muslim, kita tetap yakin dan percaya bahawa tiada kerajaan yang mampu kekal berkuasa selamanya kerana kuasa itu sebenarnya adalah milik Allah. Pemimpin yang dipilih itu perlu melaksanakan amanah dengan panduan dan suluhan wahyu Al-Quran dan As Sunnah. Segala perancangan dan tipu daya yang dibuat manusia yang angkuh untuk kekal di puncak kuasa takkan mampu untuk melawan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Berkuasa.
Selamat mengundi. Laksanakanlah hak anda untuk memilih pemimpin dengan pertimbangan akal dan iman demi masa depan baru tanah air Malaysia kita yang tercinta ini.
0 comments:
Post a Comment