Friday, March 30, 2012

Fahami konsep perkahwinan, elak krisis keluarga

| |
Picture by http://agmnhob.deviantart.com/
Hidup ini berpasang-pasangan. Semua orang suka hati apabila bercerita tentang menempuh alam perkahwinan dan menjadi raja sehari. Masing-masing ada kecenderungan dan cita rasa yang berbagai-bagai.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud, ‘Kaum lelaki (suami) adalah pemimpin bagi kaum wanita (isteri) oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain dan disebabkan kerana mereka (para suami) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Sebab itu, isteri yang solehah ialah yang taat kepada Allah, memelihara diri ketika suami tiada dan kerana Allah telah memelihara mereka.’
Zaman bercinta adalah zaman paling indah. Apakah dengan bercinta, kita telah menemui isteri atau suami yang soleh atau solehah?
Belum tentu kerana banyak kriteria untuk mencari calon yang soleh dan solehah ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, ‘Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah isteri yang solehah.’
Walaupun Rasulullah SAW menyebut wanita, lelaki juga boleh dikiaskan dengan maksud yang sama. Wanita solehah untuk lelaki soleh, lelaki soleh untuk wanita yang solehah.
Suami akan bahagia jika mendapat isteri yang tidak banyak kerenah dan menyelesaikan masalah bersama-sama. Andai kita dipertemukan dengan pasangan yang bermasalah, kita bukannya bertemu atau dipertemukan dengan pasangan yang salah tetapi sebenarnya kitalah yang menjadikan diri kita pasangan yang salah.
Orang yang berjiwa besar tidak gentar dengan jodoh yang ditentukan Allah SWT. Kesilapan dan salah yang sering berlaku ialah menyesal dan menyalahkan Allah SWT apabila timbul masalah dalam perkahwinan. Pasangan bertukar watak, tidak pandai mengurus rumah tangga, tidak pandai berkomunikasi dan seribu satu macam tidak pandai muncul apabila keharmonian sudah mulai pudar.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila anak-anak mula berasa rumah tidak lagi dapat memberi kebahagiaan, sebaliknya mereka mula mencari rakan-rakan untuk berkongsi perasaan atau masalah. Di sinilah bermulanya krisis keluarga yang lebih besar apabila anak lari dari rumah, anak hilang atau anak diculik.
Menentukan pasangan hidup amat kritikal kepada anak-anak muda hari. Mereka berhak menentukan siapa yang hendak dinikahi kerana pernikahan bukan boleh dibuat main-main, sebaliknya adalah ikatan suci yang dipertanggungjawabkan. Andainya pasangan yang dinikahi memahami konsep ini, kes-kes yang melibatkan krisis keluarga boleh dikurangkan.
Sumber : Langit Ilahi

0 comments:

Post a Comment